PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) merayu agar kerajaan mempertimbangkan penambahan peruntukan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam Belanjawan 2026 yang sedang dirangka.
Menurut Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli, langkah tersebut amat penting bagi memastikan RTM kekal relevan sebagai penyiar utama kerajaan dan seterusnya menyelamatkan ekosistem industri kandungan tempatan yang kini semakin rapuh.
“Ramai karyawan seni, penulis skrip, pengarah muda dan tenaga kreatif lahir daripada platform RTM. Jika RTM lumpuh, maka seluruh rantai nilai industri akan turut terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Dalam kenyataan sama, beliau menzahirkan penghargaan terhadap pengumuman insentif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh Perdana Menteri yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat, khususnya golongan B40.
Namun tegasnya, pembinaan negara bangsa tidak boleh hanya tertumpu kepada keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan pendidikan semata-mata.
"RTM telah menjadi tulang belakang penyiaran negara selama lebih 75 tahun memainkan peranan strategik dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat, terutama masyarakat luar bandar. Walaupun berdepan ledakan kandungan digital dan keterbukaan media, RTM masih menjadi antara platform paling dipercayai.
“RTM kini mengendalikan lima saluran penyiaran, namun bajet tahunannya tidak meningkat seiring keperluan. Bila kos penerbitan naik saban tahun, tekanan kewangan turut meningkat bukan sahaja kepada RTM, bahkan kepada syarikat penerbitan yang bergantung kepada stesen ini,” jelasnya.
Jurey turut menegaskan bahawa RTM kini berdepan cabaran getir untuk bersaing dengan lambakan kandungan tidak bermoral dan ideologi songsang di media sosial.
Tanpa bajet mencukupi katanya, RTM tidak mampu menghasilkan kandungan yang mampu menyaingi pengaruh asing.
“Kami tidak mahu RTM dibiarkan bergerak sendiri dalam medan yang semakin mencabar ini. Jika kerajaan tidak memperkasa RTM, ruang itu akan diisi oleh pihak luar yang membawa agenda mereka sendiri,” tegasnya.
PTVM mencadangkan agar penambahan peruntukan digunakan untuk menambah jumlah penerbitan tempatan, menawarkan kadar perolehan yang lebih adil, membuka peluang kepada bakat baharu serta memperkasa kandungan berjiwa Malaysia seperti dokumentari, drama, program ilmu dan rancangan patriotik.
Beliau menutup kenyataan dengan menyatakan keyakinan bahawa Perdana Menteri sebagai tokoh reformasi dan pemimpin berwawasan akan memandang serius perkara ini sebagai pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan akal budi rakyat dan masa depan negara bangsa.