PUTRAJAYA - Penjawat awam diberi peringatan tegas agar tidak terbabit dalam sebarang aktiviti politik serta mengekalkan kedudukan berkecuali daripada mana-mana parti.
Mereka dilarang sama sekali memegang jawatan, memakai lambang atau terlibat dalam kempen mana-mana parti politik, kecuali dengan kebenaran dalam kes tertentu.
Perkara ini terkandung dalam surat edaran rasmi bertarikh 23 Julai 2025 ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Penjawat awam sepatutnya bersifat profesional, adil dan tidak berpihak selaras dengan prinsip berkecuali dan kebersamaan,” katanya.
Dalam surat edaran itu turut menekankan keperluan semua pegawai awam mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], khususnya dari aspek tatakelakuan yang menyentuh soal kesetiaan, disiplin serta integriti.
Menurutnya, setiap penjawat awam hendaklah menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.
"Semua pegawai awam telah menandatangani Surat Aku Janji sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.
"Aku janji ini adalah satu komitmen bertulis oleh pegawai awam untuk mematuhi peraturan dan arahan kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka," menurutnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa semua penjawat awam telah menandatangani Surat Aku Janji yang menuntut komitmen penuh untuk bertugas secara jujur, cekap, bertanggungjawab serta mengelakkan salah laku termasuk penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.
Turut ditekankan ialah larangan membuat kenyataan awam tanpa kebenaran bertulis, termasuk menerbitkan maklumat tidak sahih atau menyentuh dasar kerajaan serta isu dalaman jabatan yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam.
“Sebarang kenyataan awam yang positif juga hanya boleh dibuat dengan kebenaran bertulis daripada Menteri,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Wan Ahmad Dahlan turut mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran tatakelakuan boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuklah pegawai terbabit boleh dikenakan hukuman amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja bergantung pada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Ahad lalu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai himpunan anjuran pembangkang yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
Katanya, penjawat awam perlu patuh dengan ikrar yang termaktub dalam Rukun Negara.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memaklumkan Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di ibu kota itu dijangka menarik 500,000 penyertaan dari seluruh negara.