Bayar zakat dapat rezeki tunai umrah percuma

Iklan
Ahmad Azrin (tengah) merakam gambar bersama pemenang Kempen Jom Potong dan Menang Potongan Zakat Berjadual (PZB) anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

KUALA TERENGGANU – Usaha murni seorang pensyarah yang istiqamah menunaikan tanggungjawab zakat menerusi potongan secara berjadual membuahkan hasil apabila terpilih memenangi hadiah umrah menerusi Kempen Jom Potong dan Menang Potongan Zakat Berjadual (PZB) anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Pensyarah Fakulti Informatik dan Komputeran, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mohd Nordin Abdul Rahman yang telah membuat potongan zakat hampir 30 tahun menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah dalam menyemai kesedaran masyarakat terhadap kewajipan zakat.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya saya tak sangka juga boleh menang cabutan bertuah ini. Bila dapat tahu menang hadiah tunai umrah percuma daripada MAIDAM, saya betul-betul terkejut sebab saya juga sebenarnya rindu untuk kembali ke tanah suci.

"Mula-mula tu saya sangka ia panggilan penipuan, siap tanya ‘scammer ke?’. Bila buat panggilan video dan ditunjuk siaran langsung MAIDAM, barulah saya percaya.

Iklan

"Saya sangat bersyukur atas rezeki ini dan ia adalah hasil sumbangan kecil untuk umat Islam," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Hadiah Kempen Jom Potong dan Menang PZB di pekarangan Pejabat MAIDAM di sini pada Khamis.

Seorang lagi penerima, Ammar Abdul Rahman, 38, Penolong Akauntan UniSZA, turut tidak menyangka akan memenangi sebuah komputer riba menerusi kempen berkenaan.

Iklan

"Saya mula buat potongan zakat sejak bekerja pada 2012. Selepas sertai UniSZA pada 2015, saya teruskan potongan zakat melalui MAIDAM.

"Saya pegang prinsip, potong zakat dulu, baru bajet benda lain. Bila gaji naik, saya tambah jumlah potongan zakat," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Seorang lagi penerima yang merupakan kakitangan syarikat carigali dari Paka, Dungun, Muhammad Johary Yusof, 38, menerima sebuah motosikal Modenas Kriss hasil penyertaannya dalam kempen tersebut.

"Sejak mula kerja 20 tahun lalu, saya memang buat potongan zakat. Baru tahun ini saya tambah jumlah potongan. Masa dapat panggilan, saya ingat scammer juga, rupanya betul-betul rezeki," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk meningkatkan kutipan zakat di Terengganu.

"Agihan zakat memerlukan peruntukan besar. Maka, kempen ini diyakini mampu menambah kutipan zakat secara konsisten melalui kaedah potongan berjadual.

"Kempen ini juga memberi peluang kepada pembayar zakat menyertai cabutan bertuah, sekali gus menggalakkan lebih ramai individu melaksanakan kewajipan zakat secara berdisiplin," katanya.

Menurut beliau, kaedah potongan zakat berjadual bukan sahaja memudahkan pembayar zakat, malah membolehkan agihan dibuat secara sistematik dan menyeluruh kepada golongan asnaf.

"Peningkatan penyertaan seperti ini dapat memperkukuh agihan zakat di Terengganu, seterusnya memberi manfaat kepada penerima yang layak.

"Pada tahun 2024, seramai 24,493 pembayar zakat telah menunaikan tanggungjawab melalui kaedah PZB, melibatkan 1,365 majikan dari sektor kerajaan dan swasta.

"Jumlah kutipan menerusi kaedah ini pada tahun berkenaan mencecah RM94,499,689.88,"katanya yang menyasarkan peningkatan 12 peratus bagi keseluruhan kutipan zakat pada 2025.