SHAH ALAM- Pelaksanaan konsep kalendar cukai berbilang tahun (multi-year tax calendar) disaran bagi meningkatkan ketelusan dasar cukai serta memberi ruang perancangan yang lebih baik kepada kerajaan, sektor perniagaan dan pengguna.
Rakan Kongsi Cukai Tidak Langsung di Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd, Jalbir Singh Riar berkata, konsep tersebut membolehkan sebarang perubahan atau peluasan dasar cukai diumumkan antara satu hingga dua tahun lebih awal daripada tarikh pelaksanaan.
“Langkah ini akan mengurangkan kejutan pasaran dan memberi ruang masa yang mencukupi kepada semua pihak untuk bersedia.
“Melalui pendekatan ini juga, pengumuman berkaitan cukai tidak lagi berlaku secara mengejut atau dalam tempoh singkat.
“Contoh sekiranya kerajaan ingin memperluas skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pengumuman awal membolehkan industri membuat pelarasan sistem dan operasi lebih awal serta berperingkat,” katanya pada program Meja Bulat anjuran Sinar Harian bertajuk Memeta Perjalanan Reformasi Cukai Negara, di sini baru-baru ini.
Selain Jalbir, pembentang lain ialah Presiden Bumiputra Retailers Organization Malaysia (BRO), Datuk Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Peguam cukai RDS Partnership, Nur Hanina Mohd Azham dan dihoskan oleh Felo IKMAS Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammed Abdul Khalid.
Menurut Jalbir, selain membolehkan kerajaan merancang pelaksanaan reformasi cukai secara berfasa, pelaksanaan konsep multi-year tax calendar membolehkan kerajaan membuat unjuran kutipan hasil negara dengan lebih tepat dan teliti.
“Sekiranya skop cukai diumumkan awal, kerajaan boleh merangka sasaran kutipan hasil, sebagai contoh tambahan RM5 bilion untuk enam bulan dalam tempoh satu hingga dua tahun dengan lebih terancang.
“Selain itu, konsep ini juga dapat meningkatkan ketelusan dan keyakinan pelabur terhadap kerajaan,” katanya.
Dari sudut perniagaan, pengumuman awal bukan sahaja mengurangkan kejutan dasar cukai secara tiba-tiba malah membantu syarikat membuat penyesuaian strategik terhadap kadar cukai dan jenis cukai yang dikenakan ke atas operasi mereka.
Pada masa sama, syarikat dapat menyusun strategi kewangan dan pematuhan lebih awal sekali gus mengurangkan ketidaktentuan serta meningkatkan keyakinan pelabur.
“Contoh nyata ialah pengumuman peluasan SST pada 9 Jun dengan pelaksanaan pada 1 Julai yang hanya memberi masa singkat untuk peniaga bersedia.
“Hal ini tidak kondusif kepada operasi perniagaan dan boleh menimbulkan kekeliruan,” tegasnya.
Beliau berkata, melalui perspektif pengguna pula, pelaksanaan konsep multi-year tax calendar membolehkan rakyat merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dan mengambil langkah awal dalam menghadapi sebarang peningkatan kos akibat cukai.
“Jika kenaikan harga barang dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, pengguna boleh membuat pembelian awal atau menyesuaikan gaya hidup mereka dengan lebih bersedia.
“Tidak ketinggalan, bagi pembayar cukai, konsep multi-year tax calendar memudahkan perancangan kewangan peribadi dan perniagaan selain memberi kejelasan tentang tanggungjawab cukai untuk tahun-tahun akan datang,” ulas Jalbir.
Jalbir berkata, dalam konteks Malaysia pelaksanaan multi-year tax calendar dapat menyokong kestabilan fiskal dan ekonomi, memudahkan pelaksanaan inisiatif baharu seperti peluasan SST atau e-invois serta meningkatkan pematuhan secara sukarela dalam kalangan pembayar cukai.
Dalam pada itu, beliau menyarankan Kementerian Kewangan Malaysia menjadi agensi utama yang memacu pelaksanaan konsep multi-year tax calendar.
“Kementerian berkenaan mempunyai mandat untuk menyusun kerangka fiskal jangka panjang dan menetapkan jadual kutipan cukai secara strategik.
“Menerusi pendekatan ini, agensi kerajaan dan sektor swasta dapat merancang dengan lebih teratur dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan landskap percukaian negara,” katanya.
Bagaimanapun, Jalbir menegaskan sebarang perubahan cukai perlu dilakukan secara inklusif dan tidak membebankan rakyat di samping menjauhkan campur tangan politik dalam pembentukan dasar.
“Kunci utama adalah memastikan reformasi cukai dilaksanakan untuk manfaat jangka panjang rakyat dan negara bukan demi kepentingan politik semasa.
“Cukai perlu dijadikan alat yang menyokong pembangunan mampan bukan tekanan kepada rakyat,” katanya.
Multi-year tax calendar beri kelebihan pada kerajaan, mudahkan perancangan peniaga
SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan kalendar cukai berbilang tahun (multi-year tax calendar) mampu memberi kelebihan kepada kerajaan apabila peniaga dapat merancang dan menjangka hala tuju perniagaan mereka dengan lebih teratur.
Peguam Cukai dari RDS Partnership, Nur Hanina Mohd Azham berkata, dengan adanya kesedaran awal mengenai dasar cukai yang bakal dilaksanakan, peniaga dapat menguruskan operasi perniagaan mereka dengan lebih efisien.
“Multi-year tax calendar memberi peluang kepada peniaga menjangka perubahan dasar cukai lebih awal dan membuat persediaan sewajarnya.
“Keadaan ini juga akan mendorong kepada pematuhan cukai yang lebih tinggi dalam kalangan pembayar dan secara tidak langsung membantu meningkatkan hasil kerajaan dalam jangka masa panjang,” katanya dalam program Meja Bulat ‘Memeta Perjalanan Reformasi Cukai Negara’ di Studio F, Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, cadangan pelaksanaan multi-year tax calendar berpotensi diperkenalkan di negara ini dengan syarat pindaan dasar dan undang-undang dilaksanakan secara menyeluruh.
“Sistem multi-year tax calendar bagaimanapun hanya wajar digunakan secara terhad bagi projek jangka panjang tertentu.
“Ini kerana ia tidak selaras dengan kerangka undang-undang cukai semasa di Malaysia khususnya di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menetapkan sistem cukai berdasarkan tahun taksiran tahunan (year of assessment),” ujarnya.
Mengulas mengenai peranan menteri kewangan dalam menetapkan struktur atau jadual cukai jangka panjang, Nur Hanina menjelaskan bahawa bidang kuasa tersebut tertakluk kepada had tertentu.
“Menteri mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menetapkan insentif atau pengecualian cukai melalui pewartaan peraturan dan perintah.
“Namun, beliau tidak boleh mengubah struktur cukai asas seperti menetapkan multi-year tax calendar tanpa pindaan undang-undang oleh Parlimen,” katanya.
Tambahnya, sebarang tindakan menteri yang melepasi kuasa diperuntukkan boleh dicabar melalui proses semakan kehakiman di mahkamah.
“Risiko turut wujud sekiranya kerajaan mengumumkan peluasan cukai tanpa memberi notis awal yang mencukupi kepada pemain industri.
“Dari sudut undang-undang, peniaga boleh mencabar keputusan kerajaan jika ia dianggap tidak adil atau melampaui kuasa yang sah,” jelas beliau.
Selain itu, Nur Hanina berkata, tindakan tergesa-gesa tanpa notis juga mewujudkan risiko pentadbiran seperti ketidakpatuhan, kekeliruan sistem serta beban tambahan kepada agensi penguat kuasa.
“Kesan ekonomi termasuk menggugat operasi perniagaan dan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar cukai.
“Maka, notis awal adalah penting bagi memastikan pelaksanaan cukai dilakukan secara adil dan teratur,” ujarnya.
Kerajaan digesa perkenan sistem cukai lebih terancang, struktur dan telus
SHAH ALAM – Kerajaan digesa memperkenalkan sistem percukaian yang lebih terancang, berstruktur dan telus bagi mengelakkan kesan mengejut kepada industri serta mengurangkan aktiviti penyeludupan yang merugikan negara.
Presiden Bumiputera Retailers Organization (BRO), Datuk Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar berkata, ia termasuk tidak menaikkan duti eksais secara mendadak.
Menurutnya, berdasarkan laporan beberapa tahun lalu, ketirisan daripada ekonomi gelap dianggarkan melebihi RM200 billion.
“Angka ini tidak termasuk kerugian daripada penyeludupan rokok, aktiviti haram serta pendapatan yang tidak dilaporkan oleh individu seperti para TikToker.
“Apabila kita menaikkan duti eksais secara mendadak, itulah yang menyebabkan atau menggalakkan penyeludupan.
“Di negara-negara lain seperti Romania, Australia dan Jerman, mereka melaksanakan kenaikan duti eksais secara berpatutan dan berstruktur,” katanya ketika menjadi panel jemputan pada program terbitan Sinar Harian, Meja Bulat bertajuk Memeta Perjalanan Reformasi Cukai Negara, di sini baru-baru ini.
Datuk Syed Naqiz Shahabuddin memberi contoh, di Australia kadar kenaikan cukai dilakukan secara beperingkat iaitu 10 peratus bagi setiap dua tahun.
“Mereka tidak buat secara mendadak. Jadi, apabila kita ada sistem seperti itu, kita dapat membendung penyeludupan.
“Pada masa yang sama, kita mesti ada langkah kawalan di sempadan yang betul dan berkesan untuk memastikan tiada penyeludupan berlaku.
“Kawan bukan Islam saya yang minum arak memberitahu bahawa kebanyakan arak di Malaysia tidak direkodkan. Cukai tidak dibayar,” ujarnya.
Jelasnya lagi, ditambah pula kebanyakan rakyat Malaysia memilih rokok tidak berjenama dan tidak dikenali.
Beliau memberitahu, itu adalah rokok-rokok yang diseludup.
“Vape pula saya tidak pasti sama ada dikenakan cukai dengan betul atau tidak. Di satu pihak, ia adalah haram di bawah Akta Racun, tetapi masih boleh dijual secara terbuka.
“Saya menyokong cukai, tetapi pada masa yang sama saya juga menyokong usaha memastikan semua ketirisan dapat ditutup.
“Oleh itu, sangat penting kita mempunyai sistem kalendar supaya rakyat tahu bila kerajaan akan mengenakan cukai dan berapa kadarnya,” ujarnya.
Lebih 70 peratus rokok seludup dibawa masuk ke dalam negara
SHAH ALAM - Terdapat kebimbangan serius terhadap peningkatan penjualan rokok seludup di pasaran tempatan dengan merujuk kepada kajian yang menunjukkan lebih 70 peratus rokok dibawa masuk ke negara secara haram.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, kebanyakan rokok yang dijual tidak bercukai tanpa mengetahui sumber asalnya.
Menurutnya, mungkin rokok tersebut diseludup dan dibawa masuk melalui jalan sungai dengan menggunakan bot atau jalan tikus.
"Ia adalah sesuatu yang memang sukar untuk dibayangkan dan masih berlaku setiap hari.
"Sampai sekarang masih ada yang jual tepi pasar, naikkan kerusi dan bagi saya tiada sebarang bentuk penguatkuasaan yang boleh selesaikan masalah ini selain betul-betul berbincang tentang exercise duty yang lebih rasional.
"Kita juga perlu ada satu jadual dalam mengutip cukai untuk beberapa tahun. Kita akan naikkan dan masa ini adalah paling sesuai," katanya ketika menjadi panel jemputan pada program terbitan Sinar Harian, Meja Bulat bertajuk Memeta Perjalanan Reformasi Cukai Negara, di sini baru-baru ini.
Tambah Chean Chung, kenaikan cukai secara berperingkat dilihat dapat mengurangkan peluang dan ruang kepada mana-mana pihak untuk menyeludup secara haram.
"Kalau kita laksanakan kenaikan cukai secara berperingkat, saya nampak tidak banyak ruang untuk mereka melakukan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab seperti penyeludupan dan penjualan rokok tidak sah di pasaran," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik di negara ini bagi mengelak lebih banyak kemudaratan terutamanya kepada golongan muda, Chean Chung berkata, tindakan itu bukan jalan penyelesaian terbaik.
Ini kerana katanya, industri itu telah berkembang pesat di negara ini dan usaha untuk mengekang penjualannya agak sukar.
"Bagi saya, banning (pengharaman) bukan solution (penyelesaian), sebaliknya, kita perlu mengawal selia industri ini dengan lebih tegas dan mengenakan cukai seperti mana produk tembakau," katanya.