SABAK BERNAM – “Mulanya saya ingat rangka haiwan, tapi bila tengok lebih dekat bentuk tengkoraknya pelik macam kepala manusia.”
Demikian kata Hakimi Hendra Salleh, 28, yang menemui rangka manusia di kebun kelapa sawit milik ibunya di Jalan Saring Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar di sini pada Rabu.
Katanya, dia terserempak dengan satu objek pelik menyerupai rangka yang terdampar di atas tanah ketika baru sampai di kebun milik ibunya sekitar jam 10.30 pagi.
“Mulanya tak syak apa, tapi bila tengok tengkorak itu rupa kepala manusia, terutama di bahagian gigi.
“Saya jadi seram sejuk dan terus terfikir ini bukan bangkai haiwan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, rangka itu berada dalam keadaan reput dan hampir hancur serta tidak diketahui jantinanya.
“Bau pun tak kuat sangat, cuma bila dekat baru ada bau. Saya terus hubungi polis dan beritahu juga dalam grup WhatsApp kampung,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Menurut Hakimi, kebun seluas lebih 0.4 hektar itu sebelum ini diusahakan penduduk kampung selepas bapanya, Salleh Osman meninggal dunia lebih tiga tahun lalu.
“Saya sesekali tolong mak kalau ada masa, tapi kebun ini memang jarang masuk sejak dua bulan kebelakangan ini. Lagipun buah pun banyak yang dah gugur.
“Kawasan ini pun sunyi sebab tepi laut dan memang tak ada orang. Bila dah jadi macam ini, terbantut kerja nak kait tandan sawit,” kata anak keenam daripada 10 beradik itu.
Jelasnya, kejadian itu merupakan pengalaman pertama dan paling mengejutkan apabila menemui rangka secara bersendirian.
“Malam tadi pun saya sukar tidur, terbayang-bayang lagi keadaan rangka tu,” tambahnya.
Beliau berkata, pihak polis dan pasukan forensik telah mengambil keterangan daripadanya dan menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan rangka terbabit.
“Saya harap kalau ada waris atau pihak yang kenal sesiapa yang hilang, sila tampil buat pengecaman,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, rangka manusia yang ditemukan itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh daripada pihak patologi.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, satu rangka manusia ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Saring Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar.