Peniaga rugi RM2.2 juta diperdaya pelaburan atas talian

Iklan
Hasrat seorang peniaga untuk menggandakan wang tidak kesampaian apabila dia kerugian lebih RM2.2 juta selepas diperdaya dua skim pelaburan atas talian yang tidak wujud.

KUANTAN – Hasrat seorang peniaga untuk menggandakan wang tidak kesampaian apabila dia kerugian lebih RM2.2 juta selepas diperdaya dua skim pelaburan atas talian yang tidak wujud.

Kejadian bermula pada 23 Februari lalu, apabila lelaki berusia 45 tahun dari Maran itu tertarik dengan satu iklan pelaburan menerusi aplikasi sebelum berhubung dengan individu dikenali sebagai Helen melalui WhatsApp.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa diarahkan memuat turun aplikasi PHC Elite dan menyertai kelas pelaburan atas talian.

“Antara 14 Mei hingga 15 Julai, mangsa membuat 18 transaksi berjumlah RM1.86 juta ke dalam enam akaun bank.

Iklan

“Pada 16 Mei, dia menerima pulangan pertama sebanyak RM20,669 menyebabkan yakin dan terus melabur,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, pada 22 Julai, mangsa diminta membayar tambahan RM88,000 untuk proses pengeluaran cepat tetapi enggan sebelum membuat semakan di portal Semak Mule dan mendapati akaun bank terlibat mempunyai rekod jenayah.

Iklan

Yahaya berkata, lebih mengejutkan apabila mangsa sama turut terpedaya dengan satu lagi skim pelaburan atas nama Aid Partners pada masa sama.

Jelasnya, mangsa berurusan melalui WhatsApp dan diarahkan memuat turun sebuah aplikasi kononnya untuk mengikuti kelas pelaburan.

“Sebanyak 13 transaksi berjumlah RM440,000 dibuat antara 23 Februari hingga 21 Mei.

“Namun tiada sebarang pulangan diterima, malah mangsa diminta membayar ‘cukai’ 20 peratus untuk pengeluaran sebelum menyedari ditipu,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan kerugian dialami mangsa bagi kedua-dua pelaburan itu mencecah RM2.27 juta yang merupakan wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada rakan-rakan.

Sementara itu, Yahaya berkata, kes ketiga melibatkan seorang pesara wanita, 58, yang menyertai pelaburan saham atas talian menggunakan nama aplikasi berbeza dengan janji pulangan lumayan.

“Mangsa melakukan 28 transaksi berjumlah RM266,500 ke dalam empat akaun syarikat berbeza antara 29 Mei hingga 14 Julai menggunakan wang simpanannya.

“Mangsa mula curiga apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk pelaburan saham lain seperti PCHEM dan gagal mengeluarkan wang dilaburkan,” katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan atas talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat terutama yang dipromosikan melalui media sosial.

“Orang ramai boleh membuat semakan awal di portal https://semakmule.rmp.gov.my untuk mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

“Jika mengesyaki menjadi mangsa, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.