SHAH ALAM – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memuji tindakan tegas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terhadap operator pelancongan tidak berlesen menerusi penguatkuasaan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Operasi penguatkuasaan di seluruh negara yang dijalankan pada dua minggu pertama Julai itu dianggap langkah positif dalam mempertahankan integriti industri pelancongan Malaysia.
Pemeriksaan melibatkan kenderaan, syarikat pelancongan, premis penginapan serta pemandu pelancong itu menunjukan pematuhan dan akauntabiliti adalah keutamaan.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha berterusan MOTAC dalam menegakkan undang-undang dan melindungi integriti industri pelancongan negara.
"Penting untuk memastikan hanya pengendali berlesen dan bertauliah dibenarkan memberi perkhidmatan kepada pelancong.
"MATTA komited bekerjasama dengan kerajaan membangunkan ekosistem pelancongan yang lebih kukuh dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa operator haram sering beroperasi tanpa menanggung kos pematuhan menyebabkan ramai pemain industri berlesen terpaksa berkompromi demi kelangsungan.
Jelasnya, situasi itu bukan sahaja menjejaskan standard perkhidmatan malah memberi tekanan tidak adil kepada mereka yang mematuhi undang-undang.
"Oleh itu, MATTA menggesa kerjasama lebih erat antara MOTAC dan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Ia bagi membina ekosistem kawal selia yang kukuh dan bersepadu. Kami berharap penguatkuasaan ini diteruskan dengan lebih agresif menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)," ujarnya.
Beliau turut berharap agar kementerian lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat bekerjasama rapat dengan MOTAC untuk membanteras operator haram secara dalam talian.
Menurutnya, langkah itu mampu mengurangkan penipuan yang berleluasa di internet.
"Selain penguatkuasaan, MATTA percaya kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta amat penting dalam mewujudkan persekitaran pelancongan yang selamat dan profesional.
"Pemain industri perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dengan beroperasi secara sah, meningkatkan kesedaran dan menyokong mekanisme pematuhan.
"Usaha ini selaras dengan matlamat Dasar Pelancongan Negara 2020–2030 serta visi Malaysia untuk menjadi destinasi pelancongan mampan, berdaya saing dan inklusif," ulasnya.