SHAH ALAM - Kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 pada Selasa menandakan titik perubahan bersejarah bagi perlindungan pemberi maklumat di negara ini.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menekankan bahawa pindaan tersebut merupakan hasil usaha bersepadu oleh organisasi masyarakat madani, aktivis dan ahli akademik, yang telah lama mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pemberi maklumat dalam memerangi rasuah serta penyelewengan awam.
“Hari ini, kami berdiri dalam solidariti bersama pemberi maklumat yang tidak terkira banyaknya, sama ada pada masa lalu, kini atau akan datang. Keberanian mereka wajar mendapat perlindungan penuh di bawah undang-undang.
“Kami juga memuji kerajaan, khususnya Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), atas kepimpinan mereka dalam menyelaras perundingan meluas berkaitan reformasi ini,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan RUU Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 yang membolehkan penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat.
RUU itu diluluskan dengan lebih banyak suara yang bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.
Menurut kenyataan C4, pendekatan inklusif kerajaan dan BHEUU dalam mengambil kira cadangan masyarakat sivil menunjukkan nilai penglibatan rakyat dalam pembangunan dasar negara.
Jelasnya, pendekatan ini seharusnya dijadikan contoh dalam usaha pembaharuan perundangan yang akan datang.
“Walaupun peluang untuk pemberi maklumat telah dibuka, masih banyak yang boleh dan perlu dilakukan bagi mewujudkan persekitaran yang benar-benar selamat untuk mereka di Malaysia.
“Tambahan pula, beberapa pembaharuan antirasuah yang lain masih belum diluluskan,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan berkenaan, terdapat beberapa isu kecil yang masih berlarutan, termasuk keengganan kerajaan untuk meluaskan saluran pendedahan selain daripada agensi penguat kuasa.
“Hal ini menimbulkan masalah, terutamanya dalam keadaan apabila agensi penguat kuasa itu sendiri terlibat dalam rasuah.
“Dengan memperluas saluran pelaporan kepada organisasi masyarakat madani, ahli Parlimen dan media, kebimbangan orang awam mungkin dapat dikurangkan,” jelas kenyataan tersebut.