SEBERANG JAYA - Seorang remaja perempuan maut, manakala rakan lelakinya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas akibat tayar belakang bocor dalam kejadian di Kilometer 136.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini pada malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.47 malam itu, mangsa berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Juru menuju ke Sungai Dua.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, tayar belakang motosikal yang dinaiki mereka pecah secara tiba-tiba, menyebabkan penunggang hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K. Vignesh di talian 011-14572390 bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan, selain mematuhi undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan semua pihak,” katanya.