MELAKA - Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) membuat permohonan semakan semula terhadap kadar tarif air di Melaka sebagai langkah untuk menampung peningkatan kos operasi penyelenggaraan paip dan pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, semakan ini merupakan sebahagian daripada usaha memastikan perkhidmatan air terawat kepada rakyat terus berkualiti dan mampan dalam jangka masa panjang.
Menurutnya, SAMB perlu menanggung kos pembaikan dan penyelenggaraan yang menunjukkan peningkatan setiap tahun iaitu RM15 juta pada 2022 meningkat kepada RM25 juta pada tahun 2023 sebelum angka itu merekodkan RM34 juta pada tahun lalu.
Katanya, kenaikan ini bukan sahaja di Melaka namun semakan turut dibuat oleh beberapa negeri lain seperti Terengganu, Kedah dan Perlis.
"Kos ini membabitkan penukaran paip usang yang berusia lebih 40 tahun, masalah tekanan air rendah, pembinaan LRA Jus dan Sungai Jerneh serta kolam tadahan air baharu.
"Jangan lihat kenaikan tarif sahaja tetapi perlu mengambil kira kos ditanggung SAMB," katanya ketika ucapan penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada Rabu.
Terdahulu Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) membangkitkan tindakan SAMB mengemukakan permohonan semakan semula tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini.
Hameed Mytheen yang juga (BN- Ayer Limau) berkata, kehilangan air tidak berhasil (NRW) di Melaka juga mencecah RM300,000 sehari dan boleh mencapai jutaan ringgit jika tidak dibaik pulih.
Beliau turut menegaskan SAMB tidak mempunyai sebarang tunggakan hutang dengan kerajaan negeri seperti yang didakwa oleh wakil rakyat pembangkang itu dan bayaran pinjaman membabitkan lapan projek bekalan air serta infrastruktur bagi tempoh 25 tahun.
"Bayaran ansuran bulanan untuk air mentah terawat dibayar kepada Badan Kawal Selia Air (BKSA) tidak ada tertangguh malah kita membayar lebih daripada tarikh sepatutnya," katanya lagi.