Pemuda PN desak JANS selesai segera masalah bekalan air di Putatan

Iklan
Bekalan air diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat gangguan air di Putatan.

PUTATAN - Kira-kira 25,000 penduduk di daerah ini terus berdepan kesukaran akibat gangguan bekalan air yang didakwa berlarutan sejak sebulan lalu tanpa sebarang penyelesaian jelas.

Antara kawasan yang terkesan termasuk Kampung Lok Kawi, Kampung Meruntum, Kampung Pasir Putih, Kampung Petagas, Kampung Ketiau dan Kampung Muhibbah, di mana penduduk terpaksa bergantung kepada sumber alternatif dengan membeli air dari lori persendirian.

Iklan
Iklan

Exco Pemuda Perikatan Nasional (PN) Sabah, Kanny Chew Ly Choi, menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar segera menyelesaikan isu tersebut atau menyediakan pelan alternatif yang lebih berkesan.

"Masalah air ini sudah berlarutan terlalu lama. Ramai penduduk mengadu mereka tidak dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna dan terpaksa mencatu air untuk memasak dan mencuci pakaian.

Iklan

"Kami Pemuda PN Sabah mendesak JANS mengambil tindakan segera atau mencari jalan penyelesaian jangka pendek serta panjang yang benar-benar boleh membantu rakyat. Jangan biarkan mereka terus terkapai-kapai," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Prihatin dengan situasi tersebut, Kanny turut menyampaikan bantuan lori tangki air ke Kampung Meruntum sebagai inisiatif sementara bagi membantu penduduk yang terputus bekalan sepenuhnya.

Iklan

"Kami turun membantu setakat mana yang termampu, tetapi ini bukan penyelesaian sebenar. 

"Isu ini perlukan campur tangan serius dan tindakan segera pihak bertanggungjawab," tegasnya.