SHAH ALAM - Penghargaan buat rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diyakini bakal memberi nilai tambah lebih menyeluruh dan bersifat jangka masa panjang lebih konkrit melalui dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen Malaysia 31 Julai ini.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ABIM melihat pengumuman tersebut sebagai satu langkah yang penting dan tepat pada waktunya, bukan sekadar sebagai reaksi balas kepada tekanan semasa.
Tetapi menurutnya, ia menggambarkan manifestasi iltizam kerajaan Madani untuk tidak tunduk kepada desakan segelintir pihak yang cuba menggugat kestabilan melalui tuntutan politik picisan.
"ABIM menyambut baik dan merakamkan penghargaan atas pengumuman yang disampaikan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam menangani isu-isu utama rakyat serta meneruskan keberhasilan agenda pemulihan dan reformasi negara.
"Inisiatif seperti pemberian tunai one-off RM100 kepada semua rakyat dewasa, penurunan harga petrol RON95 ke RM1.99 seliter, serta penggandaan peruntukan Jualan Rahmah MADANI antara lain merupakan inisiatif bersifat segera yang mampu meredakan bebanan kos sara hidup yang sedang menekan majoriti rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan lima langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kadar inflasi keseluruhan Jun 2025 mencatatkan hanya 1.1 peratus, terendah dalam tempoh 52 bulan.
Ia merangkumi bantuan tunai sekali bayar RM100 untuk semua rakyat berumur 18 tahun ke atas; pengisytiharan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia; peruntukan penganjuran Juala Rahmah Madani ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta dan penangguhan kenaikan kadar tol serta harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 pada akhir September.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menegaskan, manfaat sebenar hanya akan dapat dirasai oleh rakyat sekiranya setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan disandarkan kepada integriti, kecekapan tadbir urus, serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Justeru katanya, penting dalam memastikan pemantauan menyeluruh dan ketelusan dalam pelaksanaan semua inisiatif yang diumumkan.
"Sehubungan itu, ABIM komited untuk terus menjadi rakan strategik dalam mendukung agenda reformasi, khususnya yang menjunjung prinsip keadilan sosial dan tatakelola yang baik.
"ABIM percaya bahawa keberhasilan iltizam Malaysia Madani hanya akan terjamin dengan gabungan iltizam politik yang teguh, sokongan masyarakat sivil yang aktif dan progresif, serta dokongan berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia," katanya.