KUALA LUMPUR - Seramai 7,862 orang papa di seluruh negara dibantu menerusi tindakan penguatkuasaan yang di selaras Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2021 sehingga Mei tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, operasi tersebut dilaksanakan secara berkala dan ad hoc oleh JKM atau dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Daripada jumlah tersebut jelasnya, Kuala Lumpur menjadi negeri tertinggi mencatatkan bilangan orang papa iaitu 1,742 orang diikuti Pulau Pinang (1,288 orang) dan Johor (1,199 orang).
"Sementara itu dari segi umur, 515 orang daripadanya berumur di bawah 18 tahun, 5,068 orang berumur 18 hingga 59 tahun dan 2,018 orang berumur 60 tahun dan ke atas.
"Manakala selebihnya tidak dapat disahkan umurnya," katanya bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu Nancy memaklumkan, orang papa yang diambil di bawah Seksyen 3(1) Akta 183 akan disaring bagi menentukan tindakan susulan yang sesuai.
Menurutnya, mereka boleh dilepaskan kepada waris, diserahkan kepada agensi berkaitan atau ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD) melalui perintah mahkamah.
"Di DBD yang dikendalikan oleh JKM, mereka akan menerima jagaan dan pemulihan merangkumi pengurusan kendiri, latihan kemahiran serta bimbingan kerohanian agar kefungsian sosial mereka dapat dikembalikan semula.
"Antara tindakan pendekatan holistik dilaksanakan bagi menangani isu ini antaranya menyediakan pusat transit secara sementara, membuka peluang pekerjaan berasaskan kemahiran dan melaksanakan semakan undang-undang untuk membangunkan perundangan lebih inklusif," jelasnya.