SHAH ALAM – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan bertindak tegas menangani ancaman serius penipuan talian palsu yang semakin berleluasa dan membebankan rakyat.
FOMCA mendedahkan, jenayah penyamaran sebagai talian rasmi kerajaan, bank dan agensi penguat kuasa kini berkembang menjadi gelombang jenayah digital berskala besar yang menjejaskan keselamatan kewangan pengguna.
Menurut FOMCA, dalam suku pertama tahun ini sahaja, lebih 12,110 kes penipuan dalam talian dilaporkan melibatkan kerugian RM573.7 juta peningkatan 13 peratus berbanding suku sebelumnya.
"Penipuan berkaitan telekomunikasi, termasuk operasi talian palsu, menyumbang kerugian sebanyak RM159.2 juta dan menunjukkan peningkatan 17.1 peratus.
"Panggilan penipuan melonjak 82.8 peratus daripada 1.63 juta pada 2023 kepada 2.98 juta pada 2024.
“Dalam tempoh 10 tahun lalu, rakyat Malaysia kerugian hampir RM9 bilion akibat lebih 200,000 insiden penipuan, dengan panggilan telefon palsu menjadi penyumbang utama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
FOMCA berkata, pihaknya menerima banyak aduan mangsa yang menerima panggilan automatik kononnya daripada agensi kerajaan atau bank dan diarahkan menekan butang tertentu untuk kononnya menyelesaikan isu cukai, akaun dibekukan atau saman.
"Tindakan itu akan menyambungkan mangsa kepada individu yang menyamar sebagai pegawai, yang kemudiannya menggunakan pelbagai taktik untuk mendapatkan maklumat peribadi dan kewangan, selain mengarahkan mangsa memindahkan wang ke akaun ‘selamat’," katanya.
FOMCA turut mendedahkan terdapat kes penipuan menggunakan teknologi klon suara berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara ahli keluarga atau kakitangan bank, menjadikan penipuan semakin meyakinkan dan sukar dikesan.
Bagi menangani isu tersebut, FOMCA menggesa kerajaan melalui Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Daftar Talian Disahkan Kebangsaan bagi membolehkan pengguna menyemak kesahihan nombor telefon.
"Malaysia juga disaran melaksanakan teknologi pengesahan pemanggil seperti STIR/SHAKEN yang telah berjaya digunakan di Amerika Syarikat dan Kanada untuk menyekat pemalsuan nombor telefon.
"Selain itu, panggilan daripada nombor tidak dikenali atau bertopeng seperti 'private number', 'unknown number' atau kod antarabangsa tidak lengkap perlu disekat secara automatik oleh syarikat telekomunikasi," katanya.
FOMCA turut mencadangkan kempen kesedaran awam secara besar-besaran dan pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) bagi melarang panggilan tanpa kebenaran serta hukuman lebih berat terhadap penjenayah termasuk denda hingga RM500,000 dan hukuman penjara.