KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengambil langkah berkesan bagi mengawal kos sara hidup rakyat berikutan kadar inflasi makanan meningkat lebih tinggi.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kadar purata inflasi makanan kini berada pada paras 2.1 peratus berbanding kadar inflasi keseluruhan iaitu 1.1 peratus setakat Jun lalu.
"Kami telah menjangkakan peningkatan dalam kos makanan atau kos sara hidup disebabkan oleh peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
"Kerajaan melalui KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) akan sentiasa memantau harga makanan untuk memastikan ia terkawal, terutamanya barangan keperluan asas,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Terdahulu Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta kementerian menjelaskan langkah-langkah diambil bagi mengawal harga makanan yang tidak mencerminkan kadar inflasi.
Menurut Ketua Pembangkang itu, kadar inflasi makanan di beberapa tempat dilihat semakin meningkat
"Saya minta pegawai periksa dalam aplikasi pemantau harga yang dikeluarkan KPDN dan mendapati harga ikan kembung naik pada 30 Jun. Sebelum perluasan SST harganya RM14.80 sekilo.
"Namun semalam, harga purata ikan kembung di Kuala Lumpur naik sehingga RM16 sekilo. Sebab itu fokus yang kita mahu adalah kerajaan mencari jalan untuk menurunkan inflasi makanan," ujarnya.
Dalam pada itu Hui Ying menjelaskan, kerajaan telah merangka beberapa program bantuan dan subsidi antaranya peningkatan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah untuk mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata, peruntukan telah meningkat daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada sembilan juta rakyat Malaysia.
"Peruntukan untuk bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tahun ini juga meningkat kepada RM2.9 bilion daripada RM2.4 bilion.
"Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion untuk menangani isu kos sara hidup secara lebih menyeluruh, termasuk mengawal harga barangan asas seperti beras dan minyak masak.
"Ini termasuk Program Payung Rahmah, yang mana sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan bagi tahun ini," ujarnya.