KUALA LUMPUR - Sebanyak 46,086 kertas siasatan berkaitan jenayah siber dibuka sepanjang tahun 2024 dengan 49 peratus daripadanya selesai di peringkat pendakwaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes tersebut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
"Terdapat dua kategori jenayah siber (iaitu) jenayah dibantu siber (melibatkan) jenayah tradisional dipermudah dengan teknologi seperti penipuan dalam talian dan penyebaran bahan lucah dan jenayah bergantung kepada siber yang memerlukan penggodaman serta perisian hasad (malware).
"Melalui agensi penguatkuasa terbesar seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), komitmen kita adalah untuk membanteras semua jenis jenayah siber," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melaksanaan beberapa pindaan antaranya terhadap Akta Kanun Keseksaan dengan masukkan Seksyen 424A dan 424B.
"Kita tinggikan penalti kepada RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini, khusus bagi mengawal 'mule' akaun penipuan atas talian.
"Kita juga pinda Kanun Tatacara Jenayah, Akta 593 supaya jika sebelum ini pegawai polis yang ada kuasa sita dan bekukan akaun untuk sekat transaksi kewangan adalah pangkat Inspektor, namun kini kuasa diberi kepada (pegawai pangkat) Sarjan," ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, sebanyak 139 perjawatan baharu sedang dipertimbangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengukuhkan struktur Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dalam mendepani pola peningkatan aduan berhubung jenayah siber di negara ini.
Menurutnya ia susulan NSRC kini diterajui PDRM membabitkan perkhidmatan selama 24 jam sehari.
"Kita kena ada penambahan pegawai dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju supaya JPA menimbangkan sehingga 139 perjawatan baharu.
"Sekarang ini purata kita terima panggilan adalah 500 sehari dan 'trend' itu meningkat, maka kita perlu beri maklum balas terhadap semua aduan itu," jelasnya.