ALOR SETAR - Sejarah tercipta apabila Hamizah Abdullah dari Kampung Ulu Legong, Baling menjadi anak Orang Asli suku Kensiu pertama berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.
Hamizah, 18, yang merupakan lepasan Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Sik, diterima masuk ke Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak dalam bidang Diploma Kaunseling, sekali gus membuka lembaran baharu buat masyarakat minoriti itu yang sebelum ini belum pernah menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Kejayaan Hamizah mencetuskan kegembiraan bukan sahaja buat dirinya dan keluarga, malah seluruh komuniti Kensiu.
Hamizah yang juga generasi sulung lepasan Maahad Dini yang berjaya menjejakkan kaki ke IPT melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya mencapai impian ini.
“Saya amat gembira dan bersyukur dapat masuk ke universiti. Terima kasih kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang banyak bantu memberikan sokongan dan dorongan kepada kami anak-anak Orang Asli Kensiu untuk terus maju,“ katanya ketika ditemui sebelum berangkat ke USAS.
Hamizah berharap kejayaannya itu menjadi inspirasi kepada generasi muda sukunya agar terus berusaha mengejar kejayaan tanpa rasa rendah diri.
“Saya mahu jadi contoh kepada adik-adik yang masih bersekolah untuk terus berusaha capai cita-cita mereka, saya juga harap dapat kembali membantu masyarakat Orang Asli satu hari nanti,” katanya lagi.
Kejayaan Hamizah turut mengundang rasa syukur ibunya, Ruby Sudin yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan melihat anaknya berjaya ke menara gading.
“Sebagai ibu, saya sangat terharu dan syukur kerana anak saya berjaya masuk ke universiti. Terima kasih kepada LZNK yang membantu dari sekolah sehingga ke tahap ini,” katanya dengan nada sebak.
Ruby juga berharap agar anaknya terus tekun belajar dan menjadi teladan kepada adik-beradik serta masyarakat sekeliling.
“Saya harap anak saya belajar bersungguh-sungguh demi masa depan dan cita-citanya, dan menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Hamizah diiringi ibunya bersama Tok Batin Kensiu, Razali Kulim serta wakil LZNK membantu keluarga itu untuk sesi pendaftaran kemasukan ke USAS.
Hamizah menerima tajaan penuh LZNK, meliputi yuran pengajian, penginapan serta elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajiannya.
Dalam pada itu, Razali menyifatkan kejayaan Hamizah bukan sahaja melakar sejarah tersendiri malah sebagai sinar harapan kepada masyarakat Kensiu, membuktikan bahawa anak Orang Asli juga mampu berjaya setanding kaum lain jika diberi peluang.
“Sejak sebelum merdeka, belum pernah ada anak suku Kensiu berjaya ke universiti. Hari ini impian itu menjadi kenyataan. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.
“Saya harap lebih ramai anak-anak kami akan menyusul jejak ini pada masa akan datang,” katanya.
Razali turut merakamkan penghargaan kepada LZNK atas sokongan diberikan kepada pendidikan anak-anak Orang Asli sejak dari bangku sekolah.
“Sumbangan dalam bentuk bantuan pendidikan, motivasi dan sokongan berterusan menjadi antara faktor utama kejayaan pelajar. Kejayaan Hamizah menjadi bukti pendidikan mampu mengubah masa depan jika diberi peluang dan sokongan berterusan,” katanya.
Tambahnya, kejayaan ini akan menjadi pencetus semangat kepada anak-anak suku Kensiu lain untuk terus berusaha mencapai impian mereka, dan tidak berasa rendah diri dengan latar belakang keluarga.