IPOH - Masalah banjir kilat yang menyebabkan laluan utama di antara Chemor dan Tanjung Rambutan terputus setiap kali hujan lebat perlu diselesaikan segera
Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1, Rosidi Mohd Rejab berkata, tindakan jangka pendek dan panjang perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah yang tertangguh sejak sekian lama.
Beliau yang juga Pengerusi Taman Kinding Permai berkata, isu tersebut bukan baharu dan berulang setiap kali hujan lebat melanda.
“Setiap kali hujan lebat lebih sejam, banjir kilat akan berlaku. Jalan ini jalan pintas ke Sungai Siput dan Chemor, jadi memang akan sesak sebab semua orang tak boleh lalu.
“Kalau hujan antara jam 5 hingga 6 petang, anak-anak sekolah agama pun tak boleh balik. Kena tunggu air surut. Ada yang sangkut sampai jam 7 malam baru boleh bergerak semula,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Rosidi, aduan telah dikemukakan kepada pelbagai pihak berwajib sejak banjir kilat ini berlaku.
Katanya, terbaharu isu berkenaan telah dibawa kepada pengetahuan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta untuk tindakan lanjut.
“Kami dah jumpa YB (Yang Berhormat), dah panjangkan isu ini ke pihak berkuasa.
“Laluan ini memang tiada jalan alternatif. Bila air naik, kereta dan motosikal semua tak boleh lalu, terlalu dalam.
“Kalau hujan sejam, kita kena tunggu sejam juga untuk air surut. Kadang-kadang jadi macam kepala air. Ada sekali tu air naik sampai depan kedai, cuma tak masuk dalam kedai saja,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar satu pelan tindakan segera dilaksanakan termasuk kerja-kerja pembersihan sistem perparitan dan laluan air bagi mengelakkan banjir berulang.
“Kita minta penyelesaian sama ada jangka pendek atau panjang. Paling tidak, bersihkan sistem perparitan dengan kerap supaya air tak melimpah.
“Kalau dibiarkan, masalah ini akan terus membebankan penduduk dan pengguna jalan raya. Kita harap ada tindakan tegas daripada pihak berwajib demi keselamatan dan keselesaan semua,” ujarnya.