ADA seorang pengurus projek dilapor sanggup bertindak membakar wang tunai hampir RM1 juta selepas terkejut dengan serbuan SPRM.
Kejadian itu berlaku di Petaling Jaya, Selangor. Semasa serbuan di rumahnya, pasukan SPRM menemui wang kertas RM100 yang keseluruhannya berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar. SPRM percaya suspek bertindak nekad bagi menghapuskan bukti satu kes rasuah.
Kes bakar duit ini amat jarang Merak Jalanan dengar, atau mungkin tak pernah lagi. Ada yang kata kalau duit hasil rasuah memang sangguplah bakar, cuba hasil titik peluh sendiri!
Seumur hidup Merak Jalanan tak pernah tengok wang tunai RM100,000 depan mata, inikan pula sejuta. Dia senang-senang pula bakar.
Kes ini ada persamaan dengan insiden seorang pempengaruh pemotoran tenggelamkan kereta Axia isteri dalam sungai di Johor.
Axia baharu sekarang bukannya murah, sekitar RM40,000 juga. Tapi itulah, bukan kereta dia.
RM1 juta bagi orang macam Merak Jalanan tentulah banyak. Kerja 30 tahun pun belum tentu boleh kumpul RM1 juta duit KWSP.
Bagi pekerja bergaji minimum RM1,700 sebulan pula, mereka perlu membanting tulang selama 50 tahun untuk himpun RM1 juta.
Setahu Merak Jalanan tradisi bakar wang kertas ini ada dalam budaya masyarakat Cina. Mereka memanggilnya 'wang neraka'.
Duit kertas wang neraka juga dikenali kerana nilai besarnya, daripada RM10,000, RM100,000, RM1,000,000 malah sehingga RM500,000,000.
Tapi ini bukan duit betul, ia cuma simbolik persembahan wang kertas untuk kegunaan alam berikutnya mengikut kepercayaan mereka.
Tapi kalau duit rasuah yang terang-terang haram, ia memang boleh bawa ke neraka. Duit ada kaitan dengan agama.
Dapat dari mana dan ke mana dibelanjakan, semua akan ditanya nanti di akhirat. Duit haram kalau guna untuk bina 1,000 masjid pun takut-takut cuma dapat dosa saja.