KAJANG - Seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang di Puchong pada Khamis lalu ditemui lemas di Tasik Bukit Enggang, Sungai Long di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden tersebut pada jam 7.30 pagi.
“Seorang lelaki tempatan menemui mayat itu ketika sedang memancing di tasik berkenaan.
“Sepasukan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat hadir ke lokasi bagi membantu menaikkan mayat yang terapung di tengah tasik, kira-kira 3.048 meter dari tebing,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Naazron berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 25 tahun dan sebelum ini dilaporkan hilang di Puchong pada Khamis lalu.
“Kita turut menemui sebuah motosikal jenis Honda RS150 dan topi keledar berwarna hitam yang dipercayai milik mangsa,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa yang lengkap berpakaian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
“Proses bedah siasat selesai pada jam 12.30 tengah hari tadi dan punca kematian disahkan sebagai lemas.
"Tiada sebarang kesan kecederaan fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” jelasnya.
Naazron berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Sungai Long, Sarjan Abang Faizul Abang Bujang di talian 012-9208851 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.