Wong Chen cadang luaskan saluran aduan pemberi maklumat

Iklan
Wong Chen

KUALA LUMPUR - Pemberi maklumat wajar diberi lebih banyak pilihan saluran untuk membuat aduan, termasuk kepada media dan ahli Parlimen, khususnya dalam kes-kes yang melibatkan salah guna kuasa pihak berkuasa itu sendiri.

Wong Chen (PH–Subang) berkata, pilihan tersebut merupakan sebahagian daripada perkara dasar yang perlu diberi keutamaan dalam memastikan reformasi lebih baik dapat dilaksanakan dalam melindungi pemberi maklumat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia seperti yang dilaksanakan di negara-negara yang lebih maju dari segi demokrasi seperti United Kingdom, Perancis dan Sweden.

“Apa jadi jika pihak berkuasa itu tidak mengambil tindakan? Apa yang dicadangkan secara dasar ialah aduan juga boleh dibawa ke pihak-pihak lain seperti media, sebagaimana diamalkan di negara-negara demokratik seperti United Kingdom, Perancis dan Sweden.

Iklan

“Mereka membenarkan whistleblower membuat aduan kepada pihak media sekiranya tidak ada tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

“Yang perlu dibuat adalah untuk melindungi whistleblower yang berani memberi aduan kepada pihak media juga. Dan saya juga rasa, kepada pihak ahli Parlimen pun boleh... kalau dilakukan secara bertulis,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memperkukuh keyakinan terhadap sistem integriti negara dan mengelakkan kegagalan penguatkuasaan seperti dalam kes skandal 1MDB dan kes-kes rasuah berprofil tinggi yang lain.

Wong turut mencadangkan agar RUU berkenaan meneliti semula tiga isu dasar utama iaitu: perluasan saluran aduan, perlindungan maklumat walaupun di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dan penubuhan badan pemantau yang benar-benar bebas daripada kawalan eksekutif.

“Perlindungan perlu diberi kepada pendedahan rasuah atau salah guna kuasa walaupun perkara itu di bawah OSA. Kerana, kumpulan yang memperjuangkan kebenaran mesti diutamakan,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menegur pelantikan keseluruhan anggota Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat oleh Menteri, dan menyarankan agar komposisi jawatankuasa itu turut melibatkan wakil akademik, kaunselor dan badan bukan kerajaan (NGO) demi menjamin kebebasan serta kredibiliti badan tersebut.