SUBANG JAYA - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) memperkenalkan kempen pemasaran berkonsepkan pilihan raya sebagai pendekatan inovatif untuk menarik perhatian pengguna sambil mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan jenama barangan di pasar rayanya.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, idea itu timbul berdasarkan pemerhatiannya terhadap suasana politik negara yang tidak pernah sunyi daripada kempen, sekali gus mencetuskan ilham untuk membawa semangat ‘berkempen’ ke dalam dunia peruncitan.
Menurutnya, menerusi kempen itu, setiap jenama akan bertindak seperti calon bertanding yang perlu mengemukakan manifesto terbaik bagi menarik sokongan pengguna.
“Pelanggan pula menjadi pengundi yang menentukan kejayaan sesuatu produk berdasarkan nilai dan tawaran yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di sini pada Selasa.
Pelanggan Mydin berpeluang mengundi jenama kegemaran mereka secara dalam talian melalui aplikasi MYDIN Rewards bermula dari 1 hingga 16 September.
Sebanyak 26 kerusi Parlimen dan 85 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, yang mana jenama meraih undian tertinggi akan bergelar YB (Yang Berharga).
Setiap pembelian satu unit produk daripada jenama yang mengambil bahagian di mana-mana cawangan Mydin akan dikira sebagai satu undi secara fizikal.
Ameer memberitahu, pendekatan itu bukan sekadar promosi biasa, sebaliknya mewujudkan suasana kompetitif yang menggalakkan jenama menawarkan produk berkualiti pada harga mampu milik demi memastikan mereka mendapat tempat di hati pengguna.
Katanya, antara tawaran menarik yang diperkenalkan termasuk pembelian barangan bernilai RM100 yang melayakkan pelanggan menikmati pelbagai hadiah tambahan.
“Antaranya pelanggan boleh mendapatkan minuman coklat berjenama dengan harga RM10, beras lima kilogram pada harga jauh lebih rendah, dan periuk nasi elektrik serendah RM50,” jelasnya.
Menurut Ameer, kempen yang berlangsung dari 24 Julai hingga 6 Oktober itu turut menawarkan ganjaran keseluruhan bernilai RM6.8 juta kepada pelanggan dan akan diteruskan dengan beberapa pengumuman tambahan dalam masa terdekat pada Khamis ini.
Ujarnya, meskipun Kempen Pilihan Raya Mydin tidak boleh diadakan terlalu kerap, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menjadikannya sebagai acara dwi-tahunan.
“Berdasarkan sambutan dan impak positif kepada pelanggan dan jenama yang mengambil bahagian, ia mampu menjadi platform berterusan dalam membantu pengguna menikmati penjimatan serta merancakkan persaingan sihat dalam industri peruncitan negara,” katanya.
Mengulas kesan pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Ameer mengakui ia memberi impak ketara kepada pengusaha pasar raya.
Jelasnya, pelaksanaan SST menyebabkan kos operasi meningkat, khususnya bagi premis yang disewa, sekali gus memaksa mereka memindahkan sebahagian beban kos kepada pengguna.
“Walaupun kadar kenaikan harga barang akibat SST dianggarkan sekitar 1.25 peratus, kesan berangkai terhadap barangan import termasuk alat tulis dan keperluan sekolah tetap memberi tekanan kepada pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan SST, terutama terhadap barangan asas dan keperluan pendidikan agar tidak membebankan rakyat.
Dalam pada itu, Ameer turut mencadangkan kerajaan mewajibkan semua pasar raya memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus ruang kepada produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri tempatan sebagai usaha memperkukuh pasaran domestik.
Ujarnya, langkah itu penting untuk memastikan pengusaha tempatan, khususnya usahawan Bumiputera, mendapat akses pasaran yang lebih luas tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kewangan atau pinjaman semata-mata.
Katanya, kerajaan juga boleh menggunakan mekanisme kawalan melalui program seperti Jualan Rahmah dan MyKasih sebagai insentif untuk mendesak pasar raya mematuhi syarat penyertaan produk tempatan.
“Kerajaan membelanjakan lebih RM500 juta sebulan menerusi program MyKasih dan jumlah ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan produk tempatan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah," katanya.
Ameer turut menyuarakan keyakinan peniaga Bumiputera mampu mengalihkan tumpuan pasaran mereka dari luar negara ke pasaran domestik sekiranya diberi peluang dan sokongan yang seimbang dalam sistem peruncitan negara.
Katanya, kerajaan dilihat mengambil pendekatan seimbang dalam rundingan tarif perdagangan dengan negara luar termasuk Amerika Syarikat, khususnya dalam mempertahankan hak dan keutamaan yang diberikan kepada usahawan tempatan.
“Langkah kerajaan yang tidak tergesa-gesa dalam membuka pasaran tempatan secara meluas adalah keputusan tepat demi kepentingan jangka panjang negara,” ujarnya.