KUALA LUMPUR - Pihak yang mendakwa inisiatif MyKiosk sebagai projek gajah putih dituntut untuk membuat permohonan maaf.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, tuntutan itu dibuat susulan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa projek berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa, sekali gus membuktikan usaha keras penjawat awam dalam membangunkan inisiatif tersebut.
Menurut beliau, KPKT sendiri mengambil inisiatif menyerahkan dokumen berkaitan projek tersebut kepada SPRM untuk disiasat.
“Kami serahkan semua dokumen kepada SPRM untuk disiasat. Minggu lepas SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada salah guna kuasa, unsur jenayah atau rasuah dikesan.
“Maka, siapa yang lempar batu jangan sembunyi tangan. Saya menuntut, bagi pihak warga KPKT yang bertungkus-lumus membantu rakyat, agar mereka yang membuat tohmahan dan fitnah supaya memohon maaf.
“Ini kerana pengorbanan penjawat awam yang bekerja keras wajib dihargai, bukan dilemparkan dengan tuduhan tidak berasas,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa SPRM memulakan siasatan susulan dakwaan wujudnya unsur rasuah dan penyelewengan dalam tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pada 3 Julai lalu memaklumkan bahawa tiada elemen jenayah dikesan dalam siasatan berhubung kes tender pembinaan MyKiosk oleh kementerian tersebut.
Menurut Kor Ming, meskipun pelaksanaan projek MyKiosk mempunyai sedikit kelemahan, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan penambahbaikan terhadap inisiatif itu.
Justeru, katanya, KPKT turut memperkenalkan sistem penilaian lampu isyarat untuk menilai tahap prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jika lampu hijau, bermaksud prestasi cemerlang dan peruntukan akan dilipatgandakan.
“Lampu kuning menunjukkan peruntukan akan dikaji semula, manakala lampu merah menandakan peruntukan akan dibatalkan. Dalam kes lampu merah, Yang Dipertua (YDP) PBT akan dipanggil oleh KPKT untuk menerima teguran serta memberi penjelasan mengapa gagal melaksanakan dasar kerajaan,” katanya lagi.