KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menafikan dakwaan bahawa kerajaan akan memansuhkan subsidi gas petroleum cecair (LPG).
Tegas Armizan, dakwaan tersebut merupakan kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan.
"Mandat yang diberikan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah untuk menangani ketirisan dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan, dan bukan untuk menarik balik apatah lagi memansuhkan subsidi LPG.
"Malah, kerajaan terus komited menyalurkan subsidi silinder LPG kepada rakyat, namun asasnya ialah subsidi kepada penggunaan, iaitu subsidi dapur rakyat," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau membuat penafian itu bagi menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung dakwaan bahawa kerajaan akan menarik balik atau memansuhkan subsidi berkenaan.
Armizan menjelaskan, kerajaan prihatin terhadap sektor perniagaan makanan dan minuman mikro serta kecil yang turut memerlukan bantuan subsidi tersebut.
"Maka, kerajaan sentiasa terbuka untuk membenarkan sektor perniagaan mikro dan kecil ini terus memanfaatkan subsidi ini.
"Namun, sekiranya alasan mereka ialah untuk menawarkan harga yang berpatutan, maka diharapkan harga makanan dan minuman yang ditawarkan juga adalah harga rakyat dan bukan harga premium," katanya.
Sehubungan itu, tambah Armizan, komitmen kerajaan akan diterjemahkan melalui pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 bagi membolehkan wujudnya kejelasan undang-undang dalam memperkenalkan mekanisme kawalan.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal berkenaan langkah kementerian memastikan penguatkuasaan terhadap penjualan tong gas bersubsidi yang sering disalah guna oleh pihak industri agar tidak menyebabkan kenaikan kos harga barang, Armizan berkata, KPDN sentiasa memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik penguatkuasaan.
Namun, katanya, ketangkasan penguatkuasaan bukan satu-satunya faktor yang menjamin keberkesanan agenda menangani ketirisan melalui penyeludupan dan penyelewengan.
"Ia perlu disertai dengan aspek pengurusan risiko ketirisan, iaitu strategi dan pendekatan yang boleh menutup ruang dan risiko berlakunya penyeludupan serta penyelewengan.
"Sehubungan itu, KPDN sedang melaksanakan sesi libat urus untuk mendapatkan syor dan pandangan pelbagai pihak bagi memuktamadkan cadangan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
"Kerajaan akan memastikan aspek kawalan dan penguatkuasaan dapat diperkasakan dan dalam masa sama subsidi LPG akan terus disalurkan kepada rakyat," tegasnya.