Wanita cedera kedua-dua tangan, cuba disamun ketika COD kuih

Iklan
Gambar tular menunjukkan mangsa cedera kedua-dua tangan selepas terkena pisau ketika menghalang suspek merampas kunci kereta miliknya.

BESUT - Seorang wanita cedera kedua-dua tangan selepas bergelut dengan lelaki tidak dikenali ketika menghantar (COD) pesanan kuih sejuk beku pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.48 malam itu, suspek dikatakan menyamar sebagai pelanggan sebelum cuba menyamun mangsa menggunakan sebilah pisau.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, mangsa berusia 31 tahun bertemu suspek ketika mahu menyerahkan kuih, namun lelaki itu secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan cuba merampas kunci kereta miliknya.

"Ketika cuba menghalang tindakan suspek, tangan mangsa terkena pisau yang dipegang lelaki itu sehingga menyebabkan tangan kanan dan kirinya luka.

Iklan

"Suspek kemudiannya melarikan diri selepas gagal dalam cubaan samun tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan polis dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Iklan

Katanya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh didenda atau disebat.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di talian 09-6956222.

"Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan," katanya.