Nurly Sahirah: Kenang beliau pencinta al-Quran, bukan bahan pemujaan

Iklan
NURLY SAHIRAH harus dikenang sebagai seorang pencinta al-Quran yang mengorbankan masanya untuk menghafal, menulis dan menghayati kitab suci. Foto Canva/Gambar kecil: DR MUHAMMAD ARIF

PEMERGIAN Nurly Sahirah Azman, seorang mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga hafizah al-Quran akibat kemalangan jalan raya, telah menyentuh hati masyarakat Malaysia.

Kisah hidupnya yang begitu dekat dengan al-Quran, penuh dengan keinsafan dan keteladanan menjadi inspirasi ramai.

Iklan
Iklan

Bahkan, tulisan-tulisannya yang memuatkan ayat-ayat suci al-Quran turut tular dan dikongsi meluas.

Antara yang dilaporkan termasuklah mengambil tanah kuburnya sebagai azimat, memuja cebisan tulisan al-Quran yang ditulisnya, serta mempercayai bahawa keberkatan Nurly Sahirah boleh dipindahkan secara fizikal melalui barangan peribadi beliau.

Iklan

Kematian sebagai muhasabah, bukan mitos

Islam mengajarkan bahawa kematian adalah medan muhasabah, ia menyedarkan kita tentang akhirat, membangkitkan kesedaran terhadap amal serta menjadi motivasi untuk kembali kepada jalan ALLAH.

Iklan

Meninggikan martabat si mati bukan dengan menjadikan mereka objek pemujaan, tetapi dengan meneladani nilai hidup mereka.

Nurly Sahirah harus dikenang sebagai seorang pencinta al-Quran yang telah mengorbankan masanya untuk menghafal, menulis dan menghayati kitab suci.

Keberkatan itu milik ALLAH, bukan milik manusia yang boleh dipindah melalui objek.

Kembali kepada tujuan al-Quran diturunkan

Al-Quran diturunkan bukan untuk disimpan sebagai tangkal atau dijadikan azimat, tetapi sebagai petunjuk hidup, penyembuh jiwa dan dasar amal.

AL-QURAN yang merupakan mukjizat agung Nabi Muhammad SAW adalah untuk dibaca, difahami, dihayati dan diamalkan. Foto Canva

Firman ALLAH SWT dalam ayat kesembilan surah al-Isra’: "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus."

Kita wajar mencontohi ketekunannya, bukan memperdagangkan aura solehahnya. Kita patut meneladani perjuangannya sebagai hafizah, bukan menyanjungnya dalam bentuk yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Tanggungjawab masyarakat dan institusi agama

Masyarakat Islam perlu sedar bahawa mendekati unsur tahyul dalam bentuk apa pun adalah pintu kepada penyimpangan akidah.

Ia bukan sahaja mencemarkan kemurnian Islam, tetapi juga menghilangkan makna sebenar keberkatan.

BINALAH generasi yang cintakan al-Quran, bukan menjadi pemuja bahan khurafat yang mensyirikkan ALLAH. Foto Canva

Maka pendakwah, guru, ibu bapa dan pihak berautoriti agama harus memainkan peranan aktif dalam memberi kefahaman tentang isu seperti ini.

Kenang dengan doa, teladani dengan amal

Akhirnya, biarlah Nurly Syahirah dikenang dengan doa dan sedekah amal jariah, bukan dengan tangkal dan keramat.

Biarlah kita mengangkat kisah hidupnya sebagai motivasi untuk mendekati al-Quran, bukan sebagai ikon pemujaan.

Semoga ALLAH merahmati roh beliau, menerima amalnya dan menjadikan pemergiannya sebagai cahaya kesedaran buat kita semua.

Nurly Syahirah tidak meminta dipuja. Beliau hanya ingin menjadi pencinta al-Quran dan itulah yang wajar kita jadikan legasi.

***DR MUHAMMAD ARIF YAHYA merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).