BAJC 2025: Cabaran Malaysia terhenti suku akhir

Iklan
Cabaran skuad remaja negara dalam acara berpasukan BAJC 2025 terhenti suku akhir apabila tewas kepada China pada Isnin.

PERJALANAN skuad badminton remaja negara dalam acara berpasukan Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 berakhir di suku akhir setelah tewas 64-110 kepada pasukan pilihan, China di Stadium Tertutup Manahan, Solo pada Isnin.

Malaysia mara ke suku akhir setelah menamatkan saingan di Kumpulan A sebagai naib juara, di belakang pasukan tuan rumah, Indonesia manakala China pula layak ke peringkat kalah mati selaku juara Kumpulan C.

Iklan
Iklan

Malaysia menampilkan barisan pemain terbaik memulakan perlawanan dengan perseorangan lelaki pertama Lim Boon Le bejaya mengatasi Xiao Gao Bo, 11-9.

Namun, kekuatan China jelas ketara apabila Xu Wen Jing mengungguli perlawanan perseorangan wanita pertama menewaskan Eng Ler Qi, 17-22.

Iklan

Gandingan beregu wanita pertama negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi, turut berdepan tentangan sengit sebelum akur kepada Chen Fan Shu Tian-Tan Ke Xuan, 27-33.

Dalam acara beregu campuran pertama, pasangan Loh Ziheng-Noragilah Ramdan tewas 30-44 kepada pengalaman Li Hong Yi-Cao Zi Han.

Iklan

Skuad negara terus ketinggalan apabila beregu lelaki pertama, Damien Ling-Shazmir Shahrul, tewas 39-55 kepada Chen Jun Ting-Liu Jun Rong.

Biarpun pemain perseorangan negara, Kong Wei Xiang berusaha keras kembali menyaingi, namun terpaksa akur tewas 44-66 kepada Liu Yang Ming Yu.

Pemain perseorangan wanita kedua negara, Lim Zhi Shin turut tidak bernasib baik apabila tewas 48-77 kepada Yin Yi Qing.

Gandingan beregu wanita kedua, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi, tewas sekali lagi kepada Chen Fan Shu Tian-Tan Ke Xuan, 56-88.

Cabaran beregu campuran kedua, Loh Ziheng-Noragilah Ramdan turut berakhir apabila tewas 60-99 kepada Hong Yi Li-Cao Zi Han.

Beregu lelaki, Loh Ziheng-Zulwaqgarizal Redzuan melabuh cabaran negara apabila tewas 64-110 kepada Chen Jun Ting-Liu Jun Rong.

Sebagai rekod, BAJC 2025 menggunakan format baharu yang menyaksikan setiap pasukan perlu melengkapkan 10 perlawanan dengan setiap perlawanan dimainkan hingga 11 mata dan pasukan pertama yang mengumpul 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.

Saingan individu BAJC 2025 akan bermula dari 23 hingga 27 Julai.

Sementara itu, pengurus skuad negara Leong Kin Weng menyifatkan barisan pemain muda negara menunjukkan tahap disiplin tinggi sepanjang kempen acara berpasukan berkenaan. 

Enggan menyalahkan barisan pemain apabila ditunjukan jalan keluar China menegaskan pelapis negara berdepan kekurangan dari aspek fizikal berbanding pasukan China. 

“Secara keseluruhan, kumpulan pemain muda ini mengikuti setiap arahan jurulatih serta menghormati senior sepanjang kejohanan, satu aspek yang saya amat kagumi,” katanya.

Leong turut menyifatkan pemain perseorangan lelaki, Low Zi Yu sebagai antara prospek masa depan negara berdasarkan prestasi semasa sepanjang kejohanan.

“Low Zi Yu memiliki potensi besar. Beliau antara pemain yang memanfaatkan kelebihan dari segi fizikal serta kemampuan bertarung,” katanya pada Isnin.

 Kin Weng juga memuji semangat juang Lim Boon Le, namun mengakui fizikal menjadi kekangan buat pemain tersebut.

“Lim Boon Le mempunyai semangat juang tinggi dan ketahanan mental yang baik tetapi fizikalnya agak membataskan. Beliau masih perlu lebih matang dari segi corak permainan,” katanya.

Leong juga memaklumkan bahawa dua pemain lain, Loh Ziheng dan Datu Anif menunjukkan kemampuan menangani tekanan dengan baik, namun kemahiran teknikal serta pengendalian di gelanggang masih belum mencapai tahap yang diingini.

“Mereka tenang dalam tekanan, tetapi dari segi kemahiran dan pengendalian permainan gelanggang masih terdapat elemen yang perlu ditingkatkan,” katanya lagi.

Beliau juga menyentuh keperluan penyusunan semula gandingan beregu secara tetap supaya pemain dapat membina keserasian dan kefahaman bersama pasangan masing-masing.

“Sudah tiba masanya barisan kejurulatihan menetapkan kombinasi kekal dalam acara beregu supaya pemain dapat memberi tumpuan dan memahami gaya permainan pasangan mereka dengan lebih baik,” katanya.