SUNGAI PETANI - Polis masih melengkapkan siasatan berhubung kes buli membabitkan pelajar perempuan yang diikat tangan dan kaki menggunakan tali leher baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan lanjut mengenai kes itu masih berjalan.
Menurutnya, polis dalam usaha melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
"Ya, kita sedang melengkapkan siasatan terhadap dua pelajar yang ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
"Namun disebabkan kesemua mereka masih di bawah umur serta dalam keadaan trauma kita memerlukan sedikit mangsa untuk melengkapkan siasatan," katanya.
Hanyan bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323/324 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar perempuan trauma dipercayai akibat dibuli setelah tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher oleh rakannya baru-baru ini.
Kejadian dipercayai berlaku terhadap mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah sekolah menengah di daerah ini pada Isnin lalu.