Hubungan Tun Mahathir dan Muhyiddin

Iklan
Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian memberikan petunjuk bagaimana hubungan beliau dengan Muhyiddin boleh dipulihkan.

SEWAKTU Tan Sri Muhyiddin Yassin mula-mula mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac lalu, banyak pihak yang berasa bimbang mengenai kemampuan kerajaan baharu pimpinan beliau boleh bertahan.Itu terutamanya kerana Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan bersungguh-sungguh mahu menjadi Perdana Menteri kembali di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) sehingga ke tahap mahu membuat usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dalam sidang Parlimen.

Begitupun, setelah menonton rakaman video Wawancara Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan oleh Sinar Harian pada 12 Mac lalu di mana Dr Mahathir secara panjang lebar meluahkan perasaan dan pemikiran beliau, maka kebimbangan tersebut sudah semakin terhakis.

Iklan
Iklan

Dapat dilihat dengan jelas dalam wawancara eksklusif itu bahawa Dr Mahathir sebenarnya tidaklah begitu berminat untuk menjadi Perdana Menteri tetapi cubaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri kembali sebelum ini adalah lebih kepada untuk memenuhi hasrat pihak-pihak lain.

Dalam wawancara eksklusif itu, bila ditanya apakah cita-cita beliau sekarang, jawapan yang Dr Mahathir berikan adalah beliau hendak berehat dan kalau boleh, sekadar mahu pemimpin yang dipilih:"Datang kepada saya dan saya memberi pandangan dan nasihat.”

Iklan

Begitu juga penegasan Dr Mahathir bahawa:"Bukan kedudukan sebagai Perdana Menteri yang penting” tetapi"kalau saya boleh tolong pulihkan keadaan orang Melayu itu bagi saya memberi kepuasan” yang menghapuskan persepsi negatif bahawa beliau gila kuasa.

Memang Dr Mahathir menyebut bahawa beliau masih akan"terpaksa memainkan peranan sikit kalau diminta oleh orang ramai”, tetapi penegasan itu adalah didahului oleh kenyataan bahawa hanya"kalau saya lihat ada kemungkaran berlaku (dalam kerajaan baharu)”.

Iklan

Perkara yang menjadi perhitungan utama Dr Mahathir dalam menerima atau tidak kerajaan baharu itu adalah bagaimana Muhyiddin mengendalikan isu beberapa mantan pemimpin kerajaan yang sedang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah.

Apabila Muhyiddin tidak menyenaraikan mereka dalam Kabinet, Dr Mahathir pun menerima baik Kabinet beliau. Kata Dr Mahathir:"Setakat ini kita dapati bahawa mereka yang sedang dihadapkan ke mahkamah tak disenaraikan dalam Kabinet, baiklah.”

Walaupun sebahagian menteri tiada pengalaman, Dr Mahathir tidak mengecam mereka kerana mereka tiada masalah integriti. Kata beliau:"Banyak menteri lain agak junior, jadi mereka tak ada pengalaman, mereka perlu ambil masa dan saya harap mereka berjayalah.”

Muhyiddin patut lega apabila Dr Mahathir tidak lagi mempersoalkan keputusan Seri Paduka melantik beliau sebagai Perdana Menteri. Kata Dr Mahathir:"Yang itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agonglah. Saya tak nak kacau. Apa dia nak putus dia putuslah.”

Begitu juga bila Dr Mahathir sudah tidak berminat untuk menjatuhkan Muhyiddin dengan berkata:"Saya percaya pada masa itu Muhyiddin ada majoriti dalam Parlimen. Kalau ada majoriti tak guna kita adakan satu usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin.”

Dasar

Lebih jauh lagi, Dr Mahathir juga sudah mula menunjukkan sikap lunak terhadap Muhyiddin sendiri. Ini boleh kita fahami melalui tiga kenyataan beliau ini:

Pertama, bila ditanya adakah beliau bersedia untuk bertemu Muhyiddin, Dr Mahathir tidak menolaknya terus tetapi berkata,"waktu ini saya ingat saya tak bersedialah.”

Kedua, bila ditanya adakah beliau bersedia untuk menyokong Muhyiddin, Dr Mahathir tidak menolaknya terus tetapi berkata,"waktu ini tak bolehlah.”

Ketiga, bila ditanya adakah beliau bersedia untuk bersama Muhyiddin dalam menyatukan orang Melayu, Dr Mahathir tidak menolaknya terus tetapi berkata,"itu kita boleh fikir kemudianlah.”

Dapat dilihat bahawa kesediaan Dr Mahathir untuk bertemu, menyokong dan bersama Muhyiddin dalam menyatukan orang Melayu, selain turut tertakluk kepada hasutan pihak-pihak lain terhadap beliau, akan banyak bergantung kepada Muhyiddin sendiri.

Penentu utamanya ialah bagaimana Muhyiddin mengendalikan isu mereka yang sedang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah. Kata Dr Mahathir:"Saya nak perhati tengoklah macam mana dia nak tangani masalah mereka yang sedang dihadapkan ke mahkamah ini.”

Malah, bila ditanya apakah beliau akan menjatuhkan Muhyiddin atau tidak, jawapan Dr Mahathir adalah ia bergantung kepada sama ada Muhyiddin akan menggunakan kuasa beliau untuk menghentikan atau mempengaruhi perjalanan kes mahkamah atau tidak.

Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa jika Muhyiddin tidak menghentikan atau mempengaruhi perjalanan kes mahkamah yang melibatkan beberapa mantan pemimpin kerajaan, maka kerajaan baharu beliau pastilah akan selamat daripada gangguan Dr Mahathir.

Lebih memberangsangkan lagi apabila Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif itu juga sudah mula memberikan beberapa petunjuk yang jelas kepada Muhyiddin dan kepada masyarakat awam mengenai bagaimana hubungan beliau dengan Muhyiddin boleh dipulihkan.

Pertama ialah mengenai pengekalan dasar-dasar baik Dr Mahathir sebelum ini:"Saya mintalah kalau boleh Kabinet janganlah gugurkan dasar-dasar yang baik yang telah kita adakan, umpamanya dasar Wawasan Kemakmuran Bersama, itu satu benda yang baik, jangan gugur.”

Ini Dr Mahathir huraikan kemudiannya dengan berkata:"Kita sudah ada rangka untuk mengatasi masalah hutang yang besar, finance, kita sudah ada rangka bagaimana mengatasinya. Kita juga sudah ada rangka bagaimana memajukan ekonomi negara kita. Kita juga mempunyai pelan untuk meningkatkan pendapatan orang kampung berbanding dengan orang bandar. Dan macam-macam lagi dah kita sediakan, cuma kita baru nak laksana (tetapi tidak sempat). Sekarang ini saya harap Muhyiddin guna pelan-pelan itu supaya tak jadi masalah kepada negaralah.”

Dalam wawancara eksklusif itu juga, Dr Mahathir bercakap dengan panjang lebar mengenai kebaikan dan keperluan kepada Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang disertai dengan kebimbangan beliau bahawa Muhyiddin �tidak suka PPSMI’ ini.

Tidak mengganggu

Oleh itu, sekiranya Muhyiddin tidak mengganggu perjalanan kes mahkamah, mengekalkan dasar-dasar baik Dr Mahathir sebelum ini dan mengakomodasikan kehendak supaya PPSMI dikembalikan, pastilah beliau akan mampu mendapat sokongan penuh Dr Mahathir.

Bila Muhyiddin mendapat sokongan penuh Dr Mahathir maka tiadalah jalan lagi untuk kerajaan baharu pimpinan beliau digugat kerana pihak yang mahu berbuat demikian hanya akan mempunyai peluang untuk berjaya jika Dr Mahathir kembali menyokong mereka.

Begitupun, kepada pihak-pihak yang masih mahu mengheret Dr Mahathir supaya terlibat dengan aktif dalam aktiviti politik kepartian bagi memenuhi kehendak peribadi mereka untuk cuba menjatuhkan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin eloklah lupakan hasrat itu.

Dr Mahathir sudah terlalu lama menyumbang jasa bakti kepada negara. Hormatilah kehendak beliau yang mahu berehat dan usahlah lagi beliau cuba diheret dalam aktiviti politik kepartian melainkan jika terbukti kemudiannya ada kemungkaran berlaku dalam kerajaan baru ini.

Akhirnya, sekalung tahniah wajar diucapkan kepada pihak pengurusan dan wartawan Sinar Harian di atas kejayaan mereka merungkai pelbagai perkara yang meliputi perasaan dan pemikiran Dr Mahathir yang sebelum ini tersingkap dalam diri tokoh negarawan terbilang itu.

* Dr Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), UUM.