Anwar beri amaran jangan cabar prinsip Perlembagaan

Iklan
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran tegas bahawa sebarang cubaan mencabar prinsip Perlembagaan Persekutuan termasuk usaha menjatuhkan kerajaan melalui kaedah yang tidak sah adalah bertentangan dengan undang-undang dan tidak akan dikompromi.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, Anwar menegaskan bahawa meskipun kerajaan bersikap terbuka terhadap kritikan, namun beliau tidak akan berdiam diri sekiranya kestabilan negara digugat.

Iklan
Iklan

“Ada yang kata hendak suruh saya turun. Saya dengar kononnya ada ribuan peserta perhimpunan. Polis beri laporan, saya kata teruskan. Bukan maksud hendak halang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Perhimpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Sabtu ini.

Iklan

Anwar dalam pada itu turut membidas kenyataan provokatif yang mendakwa kerajaan akan dipaksa untuk bertukar tanpa melalui pilihan raya umum.

“Apabila mereka sebut mahu paksa kerajaan bertukar, tidak mahu tunggu pilihan raya, itu sudah aneh.

Iklan

“Saya kata tidak mengapa. Saya beritahu Speaker, kalau ada usul undi tidak percaya pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, saya tunggu,” tegas beliau.

Menurut Anwar, sekiranya pihak pembangkang benar-benar mempunyai sokongan majoriti, mereka boleh mengemukakan usul undi tidak percaya seperti yang termaktub dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Tapi mereka tahu mereka tidak mampu. Insya-ALLAH, kita akan terus bertahan dengan sokongan kuat, dua pertiga majoriti. Kita tunggu pilihan raya.

“Tetapi mereka tidak mahu. Mereka mahu turunkan kerajaan sekarang. Ini sudah langgar prinsip Perlembagaan,” katanya.

Anwar turut menyifatkan naratif huru-hara yang cuba dibawa pihak tertentu sebagai usaha mencetuskan ketidakstabilan politik dan ketakutan dalam kalangan rakyat.

“Saya ingatkan, sementara kerajaan bertolak ansur, kita akan bertegas apabila prinsip Perlembagaan dicabar. Saya harap keadaan kita aman. Nak dengki sebab apa, apa yang jadi?” soalnya.

Beliau berkata, wujud segelintir pihak yang menyebarkan gambaran kononnya negara sudah tidak selamat dan rakyat hidup dalam keadaan terdesak.

“Itu mantera yang diberikan termasuk di stadium di Kedah baru-baru ini,” katanya.

Anwar berkata, jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau sebagai Perdana Menteri, mereka berhak untuk menyuarakan kritikan dan menggesa perubahan secara demokratik.

“Kritik saya tidak ada masalah. Perdana Menteri ini tidak pandai urus negara dan patut diperbaiki, saya tak ada masalah. 

"Harus rancang supaya ada orang lain lebih baik ganti, saya tak ada masalah.

“Tapi kalau dimulakan begini, mencetuskan huru-hara, tidak ada negara yang akan selamat,” katanya.

Namun beliau mengingatkan bahawa sebarang tindakan untuk mencetuskan huru-hara akan memberi kesan buruk kepada kestabilan negara.

“Kalau dimulakan begini, mencetuskan huru-hara, tak ada negara yang akan selamat. Semua rekod baik kita akan terpadam kalau tak jamin kestabilan politik,” ujarnya.

Terdahulu, Polis menjangkakan penyertaan perhimpunan tersebut sehingga 15,000 orang dengan 2,000 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta serta orang awam.