MELAKA – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai lemas dalam kolam renang dilaporkan meninggal dunia selepas 16 jam bertarung nyawa di Hospital Melaka di sini pada Isnin.
Berita duka itu dikongsikan oleh bapa mangsa menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya awal pagi Isnin.
“Doakan cahaya mata kami ditempatkan bersama-sama orang yang beriman... ALLAH lebih sayangkannya,” tulisnya dalam kapsyen.
Dalam pada itu, bapa kanak-kanak berkenaan turut memohon agar orang ramai mendoakan agar segala urusan mereka sekeluarga dipermudahkan.
Difahamkan, jenazah kanak-kanak tersebut akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor sebelum dikebumikan.
Terdahulu, Sinar Harian pada Ahad melaporkan percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan kritikal selepas lemas di kolam renang sebuah rumah inap di kondominium Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, pada pagi Ahad.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 9.45 pagi sebelum tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, didapati seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun telah dikeluarkan dari kolam oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota bomba segera memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka untuk tindakan selanjutnya.