Datuk Bandar wanita berhijab pertama di Sheffield

Iklan
Safiya Saeed telah memenangi anugerah Inspirational Individual of the Year pada Yorkshire Choice Awards 2022. Foto Agensi

SHEFFIELD – Seorang wanita berhijab mencipta sejarah di Britain apabila dilantik sebagai Datuk Bandar Sheffield yang ke-128, sekali gus menjadi wanita kulit hitam pertama yang memakai tudung menyandang jawatan tertinggi di bandar berkenaan.

Ahli Majlis daripada Parti Buruh, Safiya Saeed, mengangkat sumpah jawatan dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Bandaraya Sheffield pada Mei lalu, disaksikan ahli keluarganya yang datang dari tanah kelahirannya di Somaliland.

Iklan
Iklan

“Saya amat berbesar hati menjadi wanita kulit hitam berhijab pertama memegang jawatan ini. Saya datang ke Sheffield pada tahun 1985, dan bandar ini benar-benar menjadi rumah saya, tempat saya rasa diterima dan dihargai,”katanya memetik laporan BBC.

Safiya Saeed. Foto Agensi

Iklan

Safiya, seorang ibu tunggal kepada lima orang anak, mula menceburi dunia politik selepas dipilih sebagai Ahli Majlis bagi kawasan Burngreave pada tahun 2021.

Beliau juga merupakan pengasas kepada organisasi komuniti dikenali sebagai Reach Up Youth, yang memberi tumpuan kepada pembangunan belia, khususnya golongan muda dari latar belakang etnik minoriti dan komuniti kulit hitam.

Iklan

Dalam ucapan sulungnya di hadapan majlis penuh istimewa itu, Safiya menegaskan hasratnya untuk mewakili setiap penduduk Sheffield secara adil dan menyeluruh.

“Saya mahu setiap suara, walau sehalus mana pun, dirasai dan didengari di tengah-tengah jantung bandar ini,” katanya yang mengenakan jubah rasmi Datuk Bandar berwarna hitam dan emas serta bertopi itu.

Siapa Safiya Saeed dan dari mana asalnya?

Safiya dilahirkan di Somaliland, sebuah wilayah autonomi di bahagian utara Somalia, yang telah mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral pada tahun 1991 selepas kejatuhan rejim diktator Siad Barre.

Walaupun mempunyai sistem pemerintahan sendiri, mata wang tersendiri dan kestabilan politik yang lebih baik berbanding Somalia, Somaliland belum diiktiraf sebagai negara merdeka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu pun negara-negara kuasa besar dunia.

Dari sudut undang-undang antarabangsa, Somaliland masih dianggap sebagai sebahagian daripada Somalia. Namun begitu, rakyatnya, seperti Safiya, tetap membawa identiti kuat sebagai anak jati Somaliland, yang kini berhijrah dan menetap di Britain sejak lebih tiga dekad lalu.

Turun padang bersama komuniti. Foto Agensi

Bermula dari bawah dengan kerusi terpakai dan ruang kecil

Safiya mengimbas kembali perjalanannya yang penuh cabaran. Pada tahun 2013, beliau menyewa sebuah pejabat kecil di Dorking Street yang hanya mampu memuatkan sebuah meja, kerusi, lampu, pencetak dan komputer yang semuanya barang terpakai.

“Saya jumpa kerusi meja itu dalam tong sampah. Saya bawa balik sendiri dengan menolaknya sepanjang jalan. Itu pejabat saya, tempat saya mula berniaga dan bantu orang lain,” ujarnya.

Beliau yang ketika itu masih bergelut dengan bahasa Inggeris menjadikan pejabat kecil itu sebagai pusat khidmat masyarakat, membantu menterjemah dokumen kewangan dan surat rasmi pihak berkuasa tempatan untuk penduduk setempat.

Meskipun sibuk mengurus perniagaan dan kerja sukarela, tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah dikesampingkan.

“Saya bawa anak-anak ke pejabat. Setiap kali saya buat kerja sukarela, saya akan cakap pada mereka ‘Mama buat ini, mari kita buat sama-sama’. Mereka sentiasa jadi sebahagian daripada proses itu,” katanya.

Berjuang demi komuniti, bukan pujian

Kini, Safiya berazam menggunakan peranannya sebagai Datuk Bandar untuk membentuk Sheffield yang lebih inklusif dan harmoni, meskipun terdapat komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap dirinya di media sosial.

“Saya bukan bersopan sebab saya perlu, saya bersopan sebab itu pilihan saya. Saya tahu orang lebih mudah faham kalau kita tak menengking.

“Tapi saya bukan di sini untuk mendidik mereka yang penuh kebencian. Saya di sini untuk wakili komuniti saya. Saya cukup kuat kerana komuniti saya dan komuniti lain berada di belakang saya juga," ujarnya.- Agensi