Jadilah pempengaruh contoh, bukannya membodohkan masyarakat

Iklan
Kereta milik pempengaruh yang ditemui di Sungai Kampung Tui, Bukit Kepong.

ZAMAN sekarang, jadi pempengaruh bukan lagi soal bakat, ilmu atau manfaat. Asalkan mampu buat orang ternganga itu sudah cukup. Lagi pelik, lagi ‘trending’.

Tak cukup tayang kereta mewah, tunjuk koleksi beg harga berbelas ribu, ada pula yang kantoi hidup atas duit haram. Konon ‘berjaya’, rupanya hasil daripada kegiatan berkait najis dadah.

Iklan
Iklan

Belum habis terkejut, muncul pula yang buat ‘drama misteri’. Hilang kononnya, rupanya selamba cabut ke negara jiran.

Lebih dramatik, kereta ditinggalkan dalam sungai demi mencipta plot twist ala filem bajet rendah. Hebat tak hebat, semua ini demi apa? Hiburan murahan?

Iklan

Tapi realitinya, yang terpaksa menyelam, menyauk dan mengangkut kenderaan dari dasar sungai bukan ‘followers’, tetapi anggota penyelamat dan pihak berkuasa. Sumber masa, tenaga dan kos dibazirkan hanya kerana satu aksi bodoh yang kononnya ‘content’.

Merak Jalanan cuma nak tanya, bila masa pula menyusahkan orang jadi satu bentuk pencapaian?

Iklan

Kalau betul nak jadi pempengaruh, mengapa tak jadi seperti mereka yang menggerakkan kempen kesedaran, bantu anak muda keluar dari tekanan atau galak amalan sihat?

Itu baru namanya pengaruh. Bukan sekadar angka pengikut tapi kesan positif yang ditinggalkan.

Media sosial bukan pentas drama tanpa akal. Kalau tak mampu jadi suara yang membina, janganlah pula jadi beban masyarakat. Padam akaun pun satu pilihan yang jauh lebih mulia.

Kerana pengaruh sebenar bukan diukur dari jumlah tontonan tapi dari tanggungjawab terhadap yang menonton iaitu membina, mendidik dan menginspirasikan, bukannya memperbodohkan orang lain.