TOKYO – Sebuah syarikat di Jepun menawarkan perkhidmatan unik yang membolehkan orang ramai menyewa warga emas wanita berusia antara 60 hingga 94 tahun untuk menjadi peneman, penasihat kehidupan atau penyedia makanan tradisional.
Perkhidmatan yang dikenali sebagai ‘OK Grandma’ atau ‘OK Oppa-chan’ itu dikendalikan oleh syarikat Client Services yang ditubuhkan pada 2010, dan menawarkan pelbagai khidmat kemudahan harian termasuk penjagaan kanak-kanak, penjagaan haiwan peliharaan, pengemasan rumah serta menghadiri majlis bagi pihak pelanggan.
Perkhidmatan menyewa nenek ini diperkenalkan pada tahun 2012 dan kekal sebagai antara yang paling popular di Jepun.
Dengan bayaran asas sebanyak 3,300 yen sejam (kira-kira RM102), pelanggan boleh memilih ‘nenek’ yang sesuai mengikut keperluan mereka sama ada sebagai tukang masak, pengasuh, penasihat perhubungan atau sekadar teman berbual.
“Keistimewaan usia ialah ketenangan dan kebijaksanaan dalam menghadapi hal kecil. Mereka memiliki pengalaman hidup yang luas dan kemahiran komunikasi yang terasah melalui perhubungan dengan jiran serta keluarga,” menurut laman rasmi OK Grandma.
Setakat ini, lebih 100 warga emas wanita telah berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan. Ada dalam kalangan mereka yang pakar dalam masakan tradisional Jepun, mahir dalam kerja rumah, atau berbakat dalam seni kaligrafi.
Namun, apa yang lebih dihargai pelanggan adalah kehadiran mereka yang penyayang serta kemampuan mendengar dengan penuh empati.
Media tempatan melaporkan terdapat pelanggan yang menyewa nenek untuk menemani mereka memutuskan hubungan cinta, manakala ada juga yang memerlukan kehadiran sebagai pengganti ahli keluarga dalam majlis perkahwinan.
Selain bayaran asas, pelanggan turut perlu menanggung kos pengangkutan dan sebarang perbelanjaan lain sepanjang tempoh perkhidmatan.
Jepun sememangnya terkenal dengan pelbagai bentuk perkhidmatan sewaan unik. Sebelum ini, negara itu pernah memperkenalkan perkhidmatan menyewa ‘pak cik pertengahan umur’ (Ossan Rental), individu berbadan besar (Debucari), malah perkhidmatan khas untuk memutuskan hubungan pasangan kekasih atau suami isteri (Wakaresaseya). - Agensi