'Saya malu nak keluar rumah, sampai tahap ini sekali saya dipermainkan' - Rakan Ija

Iklan
Rakan kepada pempengaruh pemotoran, Ija Nizaruddin (kanan) meluahkan rasa kecewa.

MUAR – “Kalau dia ada masalah, biarlah kami bantu. Duduk semeja dan bincang elok-elok, bukan begini sampai semua orang cari dia siang malam.”

Demikian luahan kecewa Muhammad Syahmi Mansur, 30, rakan kepada pempengaruh pemotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang mencetuskan kekecohan apabila didakwa hilang dan lemas di Sungai Tui, Bukit Kepong di sini sejak Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, polis mendedahkan dakwaan kehilangan tersebut hanyalah sandiwara yang dirancang bersama adiknya dengan membuat laporan palsu di balai polis sehingga mengundang kemarahan rakan-rakanya yang turut bertungkus lumus mencari pempengaruh berkenaan.

Muhammad Syahmi memberitahu lebih 20 orang datang dari pelbagai daerah untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), malah ada yang mengambil cuti demi mencari rakan mereka.

Iklan

Operasi SAR yang dilakukan di Sungai Tui, Bukit Kepong sebelum ini.

“Semua rakan yang bantu mencarinya rasa kecewa. Tak sangka dia buat macam ini pada kami dan saya pun tak tahu apa motif dia.

Iklan

“Orang dah kenal saya kerana berenang di sungai itu. Saya malu nak keluar rumah. Sampai tahap ini sekali saya dipermainkan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mereka turut merancang untuk berjumpa pengamal perubatan di Segamat sebagai ikhtiar terakhir selepas operasi SAR tidak menemui sebarang petunjuk pada Jumaat.

“Tapi, bila dapat tahu perkara ini, mana saya nak letak muka dengan keluarga saya.

“Lagipun, keluarga saya pun ada buat solat hajat dengan harapan dia ditemukan segera, rupa-rupanya ada sesuatu yang kami langsung tak jangka berlaku," katanya.

Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memgesahkan pempengaruh yang dikenali sebagai ‘Ija’ atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainuddin tidak hilang sebaliknya melarikan diri ke luar negara.

Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Johor sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada penjawat awam.

Jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM2,000 atau dipenjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.