Perjumpaan LGBT, sesi outreach bukan anjuran Pejabat Kesihatan Kelantan – Dr Zaini

Iklan
Dr Zaini

KOTA BHARU – Perjumpaan kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual (LGBTQ) yang didakwa sebagai sesi outreach kesihatan dan diserbu polis di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, bulan lalu bukanlah anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Jembal atau Pejabat Kesihatan Negeri Kelantan.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, program tersebut dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAC).

Iklan
Iklan

“Program ini dianjurkan oleh NGO. Terdapat slot jemputan ceramah kesihatan yang disampaikan oleh pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Jembal.

“NGO tersebut berdaftar dan berada di bawah MAC manakala MAC pula adalah rakan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa Pejabat Kesihatan tidak terlibat sebagai penganjur utama atau bersama penganjur dalam program tersebut.

“Saya juga dimaklumkan bahawa serbuan oleh polis berlaku selepas program itu tamat dan bukan ketika program sedang berlangsung,” katanya lagi.

Iklan

Terdahulu, seramai 31 NGO dan individu tampil mempertikai kenyataan pihak polis berhubung serbuan berkenaan sambil menegaskan bahawa ia adalah program kesihatan yang menyediakan ceramah berkaitan penyakit Human Immunodeficiency Virus (HIV), maklumat kesihatan seksual serta saringan secara sukarela.

Bagaimanapun, sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan bahawa serbuan dilakukan berdasarkan risikan dan aduan orang awam berhubung satu perhimpunan yang melibatkan kumpulan gay di lokasi tersebut.

Dalam serbuan itu, polis menahan tiga individu kerana memiliki video lucah sejenis serta merakam percakapan 20 individu lain untuk siasatan lanjut.

Polis turut menemui ratusan kondom dan pil pencegah HIV di salah sebuah bilik rumah banglo terbabit.