AADK laksana modul rawatan pemulihan baharu, lebih mesra klien

Iklan
Ruslin (tengah) melancarkan modul rawatan dan pemulihan AADK yang baharu sempena Hari Terbuka AADK di PUSPEN Serdang, pada Ahad.

SERDANG – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan modul rawatan dan pemulihan baharu yang lebih holistik serta mesra klien, selari dengan keperluan semasa dalam menangani isu penagihan dadah di negara ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pelancaran modul baharu itu membuktikan komitmen agensi berkenaan untuk terus responsif terhadap perubahan landskap penagihan, terutamanya melibatkan dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini merupakan langkah besar AADK dalam memastikan pendekatan rawatan dan pemulihan sentiasa relevan, inklusif dan berkesan.

“Modul baharu ini dijangka menjadi pemacu kepada agenda Malaysia Madani dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui intervensi lebih berkesan dan inklusif, menerusi pendekatan rawatan dan pemulihan yang lebih holistik serta manusiawi,” katanya ketika merasmikan Program Hari Terbuka AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; serta Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Noor Ismail.

Menurut Ruslin, modul tersebut dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak menggunakan pendekatan bersepadu biopsikososialspiritual serta kaedah rawatan dan pemulihan berasaskan bukti.

Iklan

“Strategi pemulihan secara berfasa ini menekankan pemerkasaan kendiri, sokongan komuniti, pekerjaan, kemahiran dan integrasi semula ke dalam masyarakat, yang turut dikemas kini bagi memastikan klien bukan sahaja pulih, tetapi kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.

“Pendekatan program rawatan dan pemulihan yang diketengahkan juga bersifat rehabilitatif dengan memberikan sokongan psikologi, pendidikan dan latihan kemahiran bertujuan membantu klien kembali ke pangkuan masyarakat secara produktif dan bukan bersifat menghukum,” jelasnya.

Tambah beliau, Hari Terbuka AADK diadakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai perkhidmatan AADK yang merangkumi pencegahan, rawatan, pemulihan serta penguatkuasaan.

“Program ini juga menjadi mekanisme untuk mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, swasta, NGO serta komuniti dalam usaha membanteras masalah penyalahgunaan dadah,” katanya.

Ruslin berkata, melalui penganjuran Hari Terbuka AADK, masyarakat dapat melihat sendiri pendekatan program rawatan dan pemulihan yang digunakan menerusi Model i-Pulih AADK dalam membantu klien kembali ke pangkal jalan.