LUMUT – Polis sedang menyiasat dua laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang mendakwa telah terpedaya menghantar gambar bogel kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pelajar sekolah terbabit mendakwa telah menyerahkan beberapa keping gambar melalui aplikasi Telegram.
"Mangsa diminta memberikan maklumat diri dan keluarga serta menghantar beberapa keping gambar tidak berpakaian kepada suspek.
"Tindakan itu kononnya bertujuan bagi pemeriksaan kanser serviks dan payudara hanya dengan menggunakan gambar mangsa sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa yang menyedari ditipu bertindak membuat laporan polis kerana bimbang gambar tersebut tersebar.
Tambah Hasbullah, kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Ibu bapa dan pihak sekolah dinasihatkan supaya lebih peka terhadap isu semasa melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan tidak sewenang-wenangnya memberikan serta berkongsi maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali.
"Orang ramai juga disaran mengaktifkan ciri keselamatan pengesahan dua langkah (two-step verification) pada aplikasi Telegram sebagai langkah melindungi akaun media sosial dan platform komunikasi," katanya.
Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawarah Ahmad di talian 011-1624 0391, Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222, atau WhatsApp Hotline Polis di 017-682 8005.