Pembantu jurujual kedai emas didakwa tipu pakej umrah RM35,736

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Balik Pulau pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan menipu pakej umrah.

BALIK PULAU – Seorang pembantu jurujual kedai emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang individu berkaitan pakej umrah persendirian membabitkan kerugian RM35,736 tahun lalu.

Syed Syafiq Syed Azhar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memperdayakan seorang pengadu pada Februari 2025 dengan menawarkan pakej umrah persendirian yang kononnya meliputi penerbangan pergi dan balik serta penginapan di Makkah dan Madinah.

Tawaran tersebut bagaimanapun didakwa tidak benar sebelum pengadu menyerahkan wang berjumlah RM35,736 kepada tertuduh menerusi akaun Bank Islam milik syarikat Fique Legacy yang didaftarkan atas namanya.

Iklan

Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah premis di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh dipercayai menjalankan perkhidmatan pakej pelancongan umrah persendirian tanpa lesen sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selain tidak memiliki lesen Syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam prosiding itu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh turut diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hazarul Iqram Rozahan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya seorang duda dan mempunyai seorang anak.

Selepas mempertimbangkan permohonan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.