Kerugian akibat curi elektrik babitkan bitcoin cecah RM4.8 bilion

Iklan
Akmal mengetuai operasi serbuan ke atas tujuh premis yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto dengan cara mencuri elektrik.

ALOR SETAR – Kecurian elektrik yang dikaitkan dengan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram di seluruh negara telah merekodkan kerugian mencecah RM4.8 bilion sejak tahun 2018.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kegiatan tersebut dijalankan secara licik dan tersembunyi menjadikannya sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, premis yang menjalankan aktiviti itu lazimnya beroperasi 24 jam tanpa kehadiran pekerja, namun dilengkapi sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu besi berlapis bagi mengelakkan dikesan.

“Melihat kepada angka kerugian yang besar ini, kita perlu melipatgandakan usaha penguatkuasaan kerana kegiatan ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti malah semakin berani dan berleluasa,” katanya.

Iklan

Keadaan salah satu premis yang diserbu menunjukkan sambungan elektrik berselirat disyaki digunakan bagi mengendalikan mesin perlombongan bitcoin secara haram.

Beliau berkata demikian susulan operasi yang diketuainya ke atas tujuh premis di sekitar Alor Setar yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram melalui kecurian bekalan elektrik.

Iklan

Operasi tersebut dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebagai usaha membanteras penggunaan elektrik secara tidak sah bagi tujuan perlombongan kripto.

Dalam pada itu, Akmal turut mengingatkan bahawa selain daripada kerugian kewangan besar, kegiatan ini turut mengundang risiko keselamatan serius kepada masyarakat.

“Pemasangan kabel yang tidak mengikut spesifikasi boleh menyebabkan kejutan elektrik, kebakaran dan litar pintas,” katanya.

Menurut beliau, ST memaklumkan bahawa setakat ini, aktiviti perlombongan bitcoin belum diklasifikasikan sebagai jenayah oleh kerajaan dan tidak dikawal selia oleh mana-mana agensi tunggal.

Bagaimanapun, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik 1990, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara hingga 10 tahun jika sabit kesalahan, bergantung kepada kategori pengguna dan rekod kesalahan terdahulu.