NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, Donald Trump memfailkan saman ke atas Wall Street Journal dan pemiliknya termasuk mogul media, Rupert Murdoch pada Jumaat.
Beliau turut menuntut ganti rugi berjumlah AS$10 bilion (RM42.5 bilion) berhubung laporan akhbar itu yang mendakwa Trump menghantar ucapan hari lahir kepada pedofilia berprofil tinggi, Jeffrey Epstein, yang disertakan lukisan berunsur seksual serta merujuk kepada rahsia peribadi yang dikongsi antara mereka.
Tuntutan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Persekutuan di Daerah Selatan Florida dan menuduh pihak defendan membuat fitnah berniat jahat yang menjejaskan reputasi.
“Saya mahu Rupert Murdoch beri keterangan terhadap kes saman itu bersama akhbar ‘sampah’ tersebut. Ia akan menjadi detik yang menarik,” sindir Trump menerusi platform Truth Social pada Jumaat.
Sementara itu, pemilik Wall Street Journal, Dow Jones menegaskan bahawa pihaknya akan mempertahankan diri terhadap tindakan undang-undang tersebut.
“Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap ketepatan laporan kami,” ujar jurucakap Dow Jones.
Epstein, yang mendapat julukan pesalah seks, membunuh diri di sebuah penjara di New York pada tahun 2019, dan kes itu mencetuskan pelbagai teori konspirasi, terutamanya dalam kalangan penyokong Trump.
Mereka percaya pihak berkuasa cuba menyembunyikan hubungan Epstein dengan golongan kaya dan berpengaruh.