GAZA - Kira-kira 1,500 pelajar Palestin di Semenanjung Gaza menduduki peperiksaan Tawjihi (peperiksaan akhir sekolah menengah) pada Sabtu dalam sesi elektronik khas di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas wilayah yang terkepung itu, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Peperiksaan pusingan ketiga itu, dikenali sebagai sesi pelengkap, dikhususkan untuk pelajar yang gagal atau terlepas sehingga dua mata pelajaran dalam tahun akademik 2023. Berikutan keadaan yang sangat sukar di Gaza, Kementerian Pendidikan Palestin melancarkan peperiksaan itu secara jarak jauh menggunakan platform digital khas.
"Langkah luar biasa ini diambil memandangkan genosid dan kemusnahan yang terus dialami Gaza,” kata Menteri Pendidikan Amjad Barham dalam satu sidang media di Ramallah.
Beliau menjelaskan peperiksaan itu pada asalnya dijadual berlangsung pada 12 Disember 2023, namun ditangguhkan akibat serangan Israel.
Menurut jurucakap kementerian, Sadeq Al-Khudour, peperiksaan dijalankan dalam dua sesi setiap hari, dari 9 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang, bergantung kepada sama ada pelajar menduduki satu atau dua mata pelajaran.
Ujian rintis telah dijalankan pada Khamis bagi memastikan kesiapsiagaan teknikal.
Kementerian turut mengumumkan rancangan bagi peperiksaan akan datang untuk pelajar yang lahir pada 2006 dan 2007, dengan dua pusingan penuh peperiksaan Tawjihi dijangka diadakan secara elektronik selepas fasa semasa selesai.
Dalam statistik suram yang mencerminkan kesan buruk peperangan, Al-Khudour berkata daripada 78,000 pelajar sekolah menengah di Gaza, seramai 4,000 telah terbunuh sejak serangan Israel bermula.
Seramai 4,000 lagi menduduki peperiksaan di luar negara manakala baki 70,000 pelajar dijangka menduduki peperiksaan akhir tahun ini dan tahun hadapan.
Walaupun berdepan kemusnahan dan kehilangan tempat tinggal, para pegawai dan pendidik berkata langkah itu menunjukkan daya tahan dan keazaman belia Gaza untuk meneruskan pendidikan dalam apa jua keadaan. - Bernama