Port Dickson catat IPU tidak sihat

Iklan
Peta jerebu serantau yang dikeluarkan ASMC pada Jumaat.

SHAH ALAM – Port Dickson, Negeri Sembilan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan catatan 117 setakat jam 3 petang pada Sabtu.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, lima kawasan lain mencatatkan status kualiti udara baik manakala 62 kawasan berada pada tahap sederhana mengikut kategori JAS.

Iklan
Iklan

“Kemerosotan kualiti udara ini disebabkan pergerakan asap jerebu yang memasuki rantau negara. Tiada kebakaran besar dalam negara yang dikesan setakat ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura bertarikh 18 Julai 2025, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 79 titik panas di Sumatera, lapan titik panas di Kalimantan serta empat titik panas di dalam negara iaitu di Pahang.

Iklan

Tambah beliau, peta jerebu serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada Jumaat menunjukkan asap jerebu bertiup ke arah barat daya.

Keadaan cuaca kering turut dilaporkan di selatan Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan selatan Kalimantan.

Iklan

“Titik panas terpencil dikesan di Sumatera manakala beberapa titik panas turut direkodkan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Vietnam dan Thailand.

“Kepulan asap setempat berpunca daripada titik panas di bahagian utara dan tengah Sumatera,” katanya.

Menurut Wan Abdul Latiff, JAS telah meningkatkan penguatkuasaan serta melaksanakan rondaan harian di kawasan berisiko tinggi untuk pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU secara berterusan.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) juga telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu.

Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau kawasan mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan perindustrian serta mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau turut memaklumkan bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 melebihi tempoh 24 jam.

“Semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100. Sekolah, tadika dan taska pula akan ditutup serta-merta jika bacaan IPU melebihi 200,” jelasnya.

Pihak pengurusan institusi pendidikan juga dinasihatkan untuk memantau trend bacaan IPU dan bersiap sedia bagi pelaksanaan penutupan sekiranya perlu.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan apabila keadaan cuaca dan kehadiran awan mengizinkan, sekiranya bacaan IPU melebihi 150 melebihi 24 jam.

“JAS bersama kementerian dan agensi berkaitan akan terus bertindak pantas dan responsif dalam melaksanakan langkah-langkah yang digariskan di bawah PTJK bagi memastikan kesan jerebu terhadap kesihatan awam dan aktiviti harian dapat diminimumkan,” ujarnya.

Orang ramai boleh mendapatkan bacaan terkini IPU setiap jam melalui laman sesawang JAS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau memuat turun aplikasi rasmi MyIPU di Google Play.

Selain itu, orang ramai juga disaran melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di www.moh.gov.my bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah pencegahan semasa jerebu.

Masyarakat turut diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka, atau membiarkan premis dan tanah milik mereka dicerobohi oleh pihak yang boleh menyebabkan kebakaran.

Mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Orang ramai digalakkan bekerjasama memadam kebakaran kecil dan segera melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian kecemasan 999, atau kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.