Rezeki Sungai Jelai: Patin 11kg ‘naik’, Saufi anggap rezeki anak

Iklan
Patin lawang seberat 11kg hasil menggunakan umpan ikan anak keli yang berjaya dinaikkan oleh Saufi pada Jumaat. Foto ihsan Saufi.

LIPIS – “Ini rezeki anak-anak.”

Demikian kata kaki pancing, Saufi Yaacob, 51, dari Kampung Dala dekat Mela di sini selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin lawang seberat 11 kilogram di Sungai Jelai pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ikan tersebut dijual kepada peraih tempatan pada harga RM100 sekilogram, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,100.

“Saya menggunakan tajur dengan umpan anak ikan keli dan kali ini tuah memihak kepada saya.

Iklan

“Namun saya terpaksa ‘bertarung’ kira-kira 20 minit kerana ikan ini agak agresif selain perlu berdepan arus sungai yang deras,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar bapa kepada lima anak itu, patin lawang atau dikenali juga sebagai juara (pangasius polyuranodon) masih mempunyai peminat tersendiri meskipun rasa dan tekstur isinya tidak sebanding dengan patin buah, patin emas atau patin muncung.

Iklan

“Patin ini kalau di sini, orang biasanya masak tempoyak atau masak cili api.

“Ikan ini pula bukan mudah diperoleh selalu, jadi saya anggap ini rezeki buat kami sekeluarga,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengalaman memancing sebelum ini, Saufi memaklumkan bahawa tangkapan paling berat pernah diperolehinya ialah seekor ikan tapah seberat 25kg.