Pemandu bot buat amal jariah bawa jemaah ke masjid tanpa upah

Iklan
Bot jadi pengangkutan penduduk ke masjid. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

TUMPAT – Tiada jalan darat, sungai pula jadi pemisah.

Keadaan sekian lama dialami penduduk di 12 pulau di gugusan kepulauan di sini itu bukan halangan untuk mereka menggunakan bot demi untuk ke masjid bagi menunaikan kewajipan solat Jumaat.

Iklan
Iklan

Bahkan, lebih mengharukan apabila pemandu bot tempatan tidak mengenakan caj untuk para jemaah menaiki bot mereka dari pulau seperti Pulau Tokang, Pulau Suri, Pulau Cendol dan Sri Tanjung ke masjid mukim, Masjid Al Ahmadiah yang terletak di Pulau Teluk Renjuna.

Pemandu bot, Mohammad Hafis Mohamad, 37, berkata, dia yang tinggal di Pantai Haji Nik Mat sudah lima tahun mengemudi bot dari Pulau Suri ke masjid di Pulau Teluk Renjuna pada setiap Jumaat tanpa mengambil sebarang bayaran.

Iklan

“Bot saya boleh bawa 10 orang, biasanya penumpang naik dari Pulau Suri.

“Saya lengkapkan dengan jaket keselamatan dan anggap ini sedekah, tak perlu bayar tambang kalau naik bot saya untuk pergi solat Jumaat,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut Mohammad Hafis, setiap hujung minggu, dia akan buat lebih enam perjalanan pergi balik, bukan sahaja untuk bawa jemaah, tetapi juga membantu pengunjung ke pasar terapung.

“Saya sendiri nelayan, tetapi hari Jumaat, saya buat sambilan dan kosongkan masa untuk hantar jemaah ke masjid sebagai amal jariah,” katanya.

Seorang lagi, nelayan pantai, Ismail Zakaria, 65, berkata, bagi lebih 3,000 penduduk di gugusan pulau itu, bot penambang ibarat motosikal yang menjadi satu-satunya pengangkutan untuk keluar masuk kampung, termasuk ke masjid.

Penduduk melangkah bot dari bot secara berhati-hati. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

“Kalau saya dari Pulau Tokang ke masjid lebih kurang satu kilometer, dalam lima minit sampai, kalau cuaca baik.

“Bukan soal dekat jauh, cuma niatnya nak pastikan penduduk dapat sembahyang Jumaat,” katanya.

Antara jemaah yang setia menaiki bot ke masjid ialah Mohd Zul Mat Zain, 42, juga peniaga sate di Pasar Terapung Pulau Suri sejak dua bulan lalu.

“Setiap Jumaat dan Sabtu, saya bangun jam 6 pagi jual sate.

“Hari Jumaat akan bersiap naik bot untuk solat, mula-mula saya rasa susah, tapi lama-lama jadi seronok sebab orang kampung saling bantu dan suasana penuh ukhuwah,” katanya.

Mohd Zul yang kini menetap di Kampung Baung berkata, dia bersyukur kerana penduduk pulau tidak pernah dibiarkan tertinggal solat Jumaat.

“Hanya perlu telefon sahaja pemandu bot atau pergi ke jeti pasti ada yang bantu pastikan semua sampai ke masjid,” katanya.