Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sentiasa memastikan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti dalam pengurusan dana infak yang diterima daripada para penyumbang.
Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan menegaskan, yayasan itu saban tahun tidak pernah gagal dalam menyediakan laporan tahunan dan impak sosial selaras dengan prinsip akauntabiliti awam.
“Laporan ini dibentangkan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU),” katanya ketika ditemui dipejabatnya, di sini baru baru ini.
Ujar beliau, dana infak turut diaudit secara profesional oleh audit dalaman serta pihak bebas bagi memastikan ketelusan pengurusan kewangan.
“Audit ini dilakukan secara berkala bagi memastikan setiap dana disumbangkan dapat dimanfaatkan kepada mereka yang sepatutnya,” jelasnya.
Selain itu, Zabidi berkata, pemantauan turut dilaksanakan oleh beberapa jawatankuasa khas termasuk Jawatankuasa Syariah (JSY), Jawatankuasa Audit, Risiko dan Pematuhan (JARP), Jawatankuasa Perbendaharaan, Kewangan dan Perolehan (JPKKP), Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi dan Kepimpinan Pemikiran (JPEKP) dan Jawatankuasa Transformasi.
“Setiap cadangan akan diangkat ke jawatankuasa berkaitan untuk dinilai risiko sebelum kelulusan dibuat.
“Setiap program, aktiviti, dana dan pelaburan YAPEIM diteliti oleh panel profesional dari pelbagai latar belakang bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip Islam dan tadbir urus korporat,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan budaya kerja di YAPEIM turut berteraskan nilai amanah, syura dan tanggungjawab melalui Pelan Transformasi Najjah yang menekankan pengurusan profesional dan patuh syariah.
“Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap YAPEIM terus kukuh dan sumbangan infak benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan ummah.
“YAPEIM amat menitikberatkan ketelusan dalam setiap aspek pengurusan dana. Kita mahu para penyumbang yakin bahawa infak mereka diurus secara amanah dan memberi kesan langsung kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa pembaharuan telah dilaksanakan yayasan itu termasuklah membangunkan portal Crowdfunding Inspirasi Qaseh YAPEIM telah membangunkan portal crowdfunding Inspirasi Qaseh qaseh.yapeim.my.
Ia membolehkan penyumbang membuat sumbangan secara sekali bayar dalam mana-mana kempen yang aktif, sama ada melibatkan bantuan kepada anak yatim, sumbangan foodbank, pendidikan dan sebagainya.
“Nak menyumbang pun mudah, hanya melalui FPX dan boleh guna hampir semua bank utama di Malaysia,” jelasnya.
Zabidi berkata, Direct Debit YAPEIM yang berminat menyumbang secara konsisten setiap bulan dimana penyumbang hanya perlu klik, daftar dan dalam masa 24 hingga 72 jam, pengesahan akan dibuat oleh pihak bank pilihan.
“Selepas itu, sumbangan serendah RM10 akan ditolak secara automatik setiap bulan dari akaun bank,” katanya.
Menurut beliau, YAPEIM akan menyambut ulang tahun penubuhannya ke-41 pada 20 Julai ini, sedang aktif meneroka kerjasama dengan aplikasi telefon pintar dan penyedia e-wallet untuk memastikan urusan berinfak semuanya di hujung jari sahaja.
“Apa yang penting, matlamat kami di YAPEIM cukup jelas untuk memperkasa pembangunan sosioekonomi umat Islam di Malaysia secara bersepadu, mampan dan berterusan, hasil sokongan infak orang ramai dan rakan strategik korporat,” katanya.