PUTATAN - Tindakan pihak tertentu menjadikan isu bekalan air sebagai modal politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai tidak adil dan berpotensi merosakkan imej negeri.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pendekatan sedemikian tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat, malah boleh mengelirukan orang ramai dengan naratif yang tidak tepat.
Menurutnya, tindakan segelintir pihak menghasilkan video menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memburukkan kerajaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh mencemarkan imej Sabah secara keseluruhan.
"Kita minta orang ramai supaya tidak membuat andaian tidak berasas berkaitan gangguan bekalan air. Sekiranya ada asas, itu adalah hak untuk bersuara.
"Tetapi menghasilkan video menggunakan AI yang mengelirukan bukan sahaja memburukkan kerajaan semasa, malah memburukkan imej negeri kita," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024, di sini, pada Jumaat.
Shahelmey diminta mengulas mengenai masalah bekalan air yang turut menjejaskan pusat bandar Kota Kinabalu termasuk hotel bertaraf lima bintang dan pusat beli-belah, yang kini dijadikan bahan kempen politik menjelang PRN.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Putatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berkata, kerajaan sedang berusaha gigih menangani isu bekalan air yang dianggap sebagai isu legasi.
"Ini bukan isu semasa semata-mata, tetapi isu yang diwarisi akibat kelewatan pelaksanaan program pembangunan bekalan air di Sabah.
"Saya yakin apabila siapnya pemasangan paip pelindung Telibong Fasa 2, kita akan memperoleh bekalan air yang lebih stabil, sekali gus dapat meminimumkan gangguan.
"Namun, kita masih berdepan cabaran seperti paip uzur dan kegiatan mencuri air yang berterusan," jelasnya.
Mengulas isu bekalan air di Putatan dan Kota Kinabalu, Shahelmey mengakui berasa terkilan memandangkan Loji Rawatan Air Kasigui (UWSS Kasigui) yang baharu sahaja beroperasi sepatutnya mampu menyelesaikan sebahagian masalah.
"Loji Kasigui berkapasiti lima juta liter sehari, mampu menghasilkan sekitar tiga hingga empat juta liter air terawat sehari. Saya pun tertanya-tanya kenapa air itu tidak sampai kepada pengguna.
"Saya telah arahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) meneliti masalah teknikal yang berlaku dan hasil pemeriksaan mendapati ia berpunca daripada aspek agihan bekalan," katanya.
Menurut beliau, kerajaan sedang mengambil tindakan segera mengatasi gangguan yang menjejaskan pengguna termasuk hotel bertaraf lima bintang serta pusat beli-belah di ibu negeri.
"Pada Isnin lalu, saya terima banyak aduan, termasuk semasa berada di Kuala Lumpur. Saya segera hubungi JANS dan mereka maklumkan ia berpunca daripada paip pecah, angin terperangkap dalam saluran, isu teknikal kapasiti pam dan sebagainya.
"Apabila LRA Telibong Fasa 2 siap, air akan disalurkan ke kawasan Inanam dan Kota Kinabalu Utara, termasuk Sepanggar. Maka, air dari LRA Moyog dan Kasigui yang sebelum ini diagihkan ke kawasan berkenaan boleh dikembalikan ke Kota Kinabalu dan Putatan supaya bekalan mencukupi," katanya.
Shahelmey turut memaklumkan tekanan rendah di kawasan hotel berpunca daripada kedudukan premis yang berada di hujung agihan.
"Namun, saya dimaklumkan salah satu pengurusan hotel berpuas hati dengan pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan.
"Kita juga telah sediakan pelan kontingensi jangka pendek dan lori tangki untuk dihantar ke kawasan yang alami tekanan rendah.
"Pelan pemulihan sedang ditambah baik dan Insya-Allah, agihan air ke kawasan Putatan akan diselesaikan dalam minggu ini," jelas beliau.