Wan Ahmad Farid perlu tegas bersihkan institusi kehakiman - Zaid

Iklan
Zaid Ibrahim

SHAH ALAM - Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diharap bersikap tegas dalam mencorakkan masa depan dan membersihkan institusi kehakiman daripada unsur rasuah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zaid Ibrahim berkata, pada usia 62 tahun, Wan Ahmad Farid masih mempunyai empat tahun lagi untuk memberikan sumbangan bermakna kepada institusi kehakiman yang kini berada dalam keadaan rapuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, harapan rakyat adalah agar beliau bukan sahaja menegakkan undang-undang, tetapi juga mengembalikan keyakinan umum terhadap kewibawaan badan kehakiman.

"Saya hanya mempunyai satu harapan utama terhadap kepimpinan baharu ini. Saya tidak terlalu risau dengan perbezaan pandangan intelektual dalam kalangan para hakim, sama ada mereka menyokong doktrin Struktur Asas (Basic Structure) ataupun lebih cenderung kepada pendekatan perundangan etno-Islamik, khususnya dalam kes-kes yang melibatkan Muslim dan bukan Muslim.

Iklan

"Kepelbagaian pandangan ini adalah lumrah dalam wacana kehakiman. Namun, para peguam harus memainkan peranan mereka dengan berhujah secara rasional, bukan dengan cuba menulis semula Perlembagaan kerana ia satu tindakan yang akan mengkhianati sumpah profesion mereka," ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Tambah Zaid, perkara yang sangat dibimbangi olehnya adalah gejala rasuah dan sogokan dalam institusi kehakiman.

Iklan

Jelasnya, walaupun rasuah dalam kalangan penjawat awam bukan lagi perkara asing, rakyat masih berhak mengharapkan tahap integriti yang jauh lebih tinggi daripada para hakim.

"Tekanan terhadap para hakim hari ini amat besar. Kepentingan korporat dan individu yang kaya serta berpengaruh sering kali hadir di mahkamah.

"Kita terlalu kerap mendengar bisikan dan kadangkala tuduhan yang jelas mengenai cubaan mempengaruhi hakim melalui peguam atau saluran tidak wajar lain. Malangnya, pendedahan-pendedahan ini jarang disiasat, apatah lagi dikenakan tindakan. Kepada Wan Farid, inilah saat anda untuk mencorakkan masa depan institusi ini," katanya.

Beliau berpendapat, Wan Ahmad Farid akan dikenang sebagai reformis yang mengembalikan maruah sebuah institusi jika melakukan tugas dengan baik.

"Jika beliau menggunakan empat tahun akan datang untuk membersihkan sistem kehakiman daripada segala kotoran, generasi masa depan akan mengenang beliau bukan sahaja sebagai Ketua Hakim Negara, tetapi sebagai reformis," katanya.