Badan Peguam imbau ketegasan Wan Farid pertahan prinsip kebebasan kehakiman dalam kes Najib

Iklan
Wan Ahmad Farid

SHAH ALAM – Badan Peguam Malaysia menyatakan kelegaan susulan pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pada masa sama, badan bukan kerajaan itu (NGO) itu turut mengimbau ketegasan Wan Ahmad Farid dalam mempertahankan prinsip kebebasan kehakiman dalam kes berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Iklan
Iklan

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pelantikan itu diyakini bakal menyuntik semula keyakinan awam terhadap institusi kehakiman negara, lebih-lebih lagi dengan rekod integriti dan prinsip yang pernah ditunjukkan Wan Ahmad Farid sebelum ini.

“Beliau pernah menarik diri daripada mendengar kes melibatkan permohonan peguam Queen’s Counsel, Jonathan Laidlaw dalam perbicaraan membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan menegaskan bahawa persepsi awam terhadap kebebasan kehakiman tidak boleh dipertikaikan.

Iklan

“Ketika itu beliau turut menyatakan bahawa ‘kehakiman yang bebas adalah anugerah berharga bagi mana-mana masyarakat. Sekiranya ia hilang, maka anarki akan berleluasa’,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Ezri, kenyataan tersebut mencerminkan pemahaman mendalam Wan Ahmad Farid terhadap peranan suci institusi kehakiman dalam menjunjung kedaulatan undang-undang.

Iklan

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Hakim Datuk Abu Bakar Jais atas pelantikan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan serta Hakim Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

“Kita berharap agar barisan kepimpinan kehakiman yang baharu ini akan terus mengekalkan standard tertinggi dari segi kebebasan, integriti dan perkhidmatan kepada negara,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan mengisi kekosongan jawatan kritikal dalam badan kehakiman termasuk di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi secara segera dan telus.

“Pelantikan ini memang dialu-alukan selepas berbulan-bulan ketidakpastian, jangkaan serta spekulasi yang boleh dielakkan.

"Namun, masih banyak kekosongan sedia ada dan akan datang yang perlu ditangani.

“Kami tetap berharap kekosongan ini akan diisi segera dan dilakukan secara telus untuk memperkukuh keyakinan awam terhadap badan kehakiman serta mutu pentadbiran keadilan di negara ini,” katanya.

Untuk rekod, empat hari lalu Badan Peguam menganjurkan perhimpunan membela kebebasan kehakiman yang menghimpunkan ratusan peguam di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Perhimpunan itu antara lain susulan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat berhubung tahap kebebasan institusi kehakiman negara.