SHAH ALAM - Keluarga kepada lelaki yang maut ditembak polis dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah pada 14 Februari lalu akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan atas kematiannya.
Peguam keluarga, Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, tindakan tersebut diambil berikutan kematian tragik mangsa yang merupakan pesakit mental.
Menurut beliau, sebelum kejadian, ahli keluarga telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Petani sekitar jam 12.40 tengah hari, bagi memohon bantuan membawa mangsa yang juga pesakit skizofrenia ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
“Ahli keluarga memaklumkan bahawa mangsa enggan mendapatkan rawatan psikiatri sejak setahun lalu dan menunjukkan kelakuan serta tindak-tanduk yang membahayakan orang sekeliling,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Beliau mendakwa, operasi yang dijalankan pihak polis tidak seimbang dan keterlaluan, termasuk penggunaan kekerasan terhadap mangsa.
“Beberapa jam selepas laporan dibuat, sekumpulan anggota polis hadir ke rumah dan berlaku ketegangan apabila mangsa didakwa melibas parang ke arah mereka.
“Pihak polis kemudian menambah kekuatan dengan kehadiran anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Menurutnya lagi, mangsa tidak melakukan serangan susulan, sebaliknya hanya mengunci diri di dalam rumah, namun tindakan desakan agresif oleh pihak polis didakwa telah mencetus tekanan emosi yang lebih parah kepada mangsa.
“Antara tindakan yang didakwa dilakukan termasuk tembakan taser sebanyak dua kali, hentakan objek keras, semburan air deras, balingan gas pemedih mata, memutuskan bekalan elektrik dan tembakan peluru hidup sebanyak tujuh das ke arah mangsa,” katanya.
Beliau berkata, insiden itu menunjukkan kegagalan pihak polis mengendalikan situasi melibatkan pesakit mental dengan pendekatan berperikemanusiaan.
“Keluarga mangsa menuntut beberapa tindakan termasuk pewujudan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi kes melibatkan pesakit mental, deklarasi liabiliti terhadap pihak bertanggungjawab serta ganti rugi am, teruk dan teladan atas kehilangan nyawa.
“Turut dituntut ialah siasatan bebas oleh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), arahan tetap Ketua Polis Negara untuk libat urus kes tersebut dan pendedahan penuh SOP sedia ada kepada masyarakat umum dalam menangani kes pesakit mental,” katanya.
Dalam kejadian pada 14 Februari itu, polis mengesahkan bahawa empat anggotanya mengalami kecederaan termasuk di bahagian kepala akibat dilibas parang ketika cuba menangkap seorang lelaki dalam kejadian amuk di Taman Seri Astana, Sungai Petani.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail dilaporkan berkata, kesemua anggota berusia antara 20 hingga 50-an menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Tambah beliau, suspek lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia semasa dirawat di hospital pada jam 1.04 pagi.
Menurut beliau, kejadian berlaku semasa anggota polis cuba menangkap suspek, namun suspek menghayunkan parang sebelum polis melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.